01 November 2009

Akademi Dakwah 2009



Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API) dengan kerjasama Persatuan Ulama’ Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) akan menganjurkan program realiti sebenar dakwah di lapangan masyarakat pada 30 November 2009 hingga 13 Disember 2009. Selama 2 minggu ini, para peserta akan didedahkan tentang selok-belok dakwah di lapangan dengan menampilkan konsep dakwah yang lebih meluas serta kritikal.

Diberi nama Akademi Dakwah, program ini terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti dakwah di lapangan secara terancang dan terfokus. Para peserta haruslah berumur di antara 19 hingga 30 tahun sahaja dan yuran yang dikenakan hanyalah RM70.00 sahaja.

Program ini akan diadakan di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Bertemakan serangan pemikiran, kepenggunaan, alam sekitar, gejala sosial, masyarakat minoriti dan dakwah dalam penulisan, program ini akan memberi pengalaman baru kepada para peserta dalam menghayati erti dakwah melalui pengisian oleh pakar-pakar dalam bidang dakwah yang disebutkan tadi.

Berikut merupakan sedikit penerangan tentang tema-tema dakwah dalam AD09:

Serangan Pemikiran

Melibatkan dakwah dalam mengislahkan kembali pemikiran masyarakat di Malaysia yang diserang secara halus terutamanya oleh dakyah sesat fahaman Islam Liberal. Para peserta akan didedahkan secara ekslusif tentang fahaman sesat Islam Liberal dan konsep-konsep pemikiran lain yang ternyata bertentangan dengan Islam. Pemikiran-pemikiran sebegini melambak di dalam kosmo hidup masyarakat sehingga ḥaqq (benar) dan baṭil (palsu) menjadi kabur di kacamata masyarakat Islam khususnya di Malaysia.

Kepenggunaan

Malaysia merupakan antara negara yang tertinggi jumlah pembelian dan penggunaan barangan komersil dalam kategori negara membangun. Hal ini tidak dapat tidak akan mendedahkan pengguna Muslim terutamanya kepada barang-barangan yang tidak halal serta memudharatkan tubuh badan. Di samping itu juga, pelaburan dan pengaliran wang yang tidak selari dengan Syari‘ah menyebabkan keberkatan dalam kehidupan seharian masyarakat Islam di Malaysia hilang secara tidak sedar. Pendedahan kepada dakwah kepengunaan akan memberi input yang sangat kritikal dan berguna kepada para peserta.

Alam Sekitar

Alam sekitar merupakan ciptaan Allah SWT dan amanah kepada manusia di dunia untuk memelihara dan mengurus sumber bumi secara lestari berdasarkan prinsip-prinsip al-Qur’ān dan al-Sunnah. Kepincangan ma‘na pembangunan, kerakusan nafsu pemaju, kehilangan sifat prihatin masyarakat, kematian rasa kehambaan kepada Tuhan, antara faktor yang memungkinkan masyarakat tidak endah kerosakan alam sekitar yang berlaku di sekeliling mereka saban hari. Di dalam AD09, para peserta akan didedahkan tentang dakwah alam sekitar yang merupakan keperluan terpenting demi menyelamatkan kelestarian pengurusan pembangunan berasaskan konsep hamba dan khalifah.

Gejala Sosial

Jiwa remaja yang sering mencuba segala keseronokan menyebabkan berlakunya kepincangan akhlak yang mengheret mereka ke kancah kemaksiatan yang serius. Lambakan isu-isu semasa yang berkaitan dengan gejala sosial memberikan satu tamparan hebat kepada kesemua gerakan Islam di Malaysia dalam mempertahankan ‘Aqidah dan Syari‘ah masyarakat yang kian terhakis. Pendedahan langsung di lapangan masyarakat akan membuka mata para peserta dalam memahami dan menghayati punca utama kesuburan gejala sosial di Malaysia dan langkah terbaik dalam mempertahankan akhlak dalam diri setiap ahli masyarakat.

Masyarakat Minoriti

Masyarakat minoriti di Malaysia terutama masyarakat orang asli kurang dititikberatkan oleh gerakan dakwah akibat kos yang terlalu tinggi dan kemahiran dakwah yang konsisten di dalam situasi yang sangat mencabar. Pendakian bukit serta halangan lain antara pengalaman baru yang akan dirasai oleh para peserta dalam merealisasikan dakwah kepada masyarakat orang asli yang rata-ratanya adalah bukan Islam. Cabaran dan ujian yang bakal dihadapi oleh para peserta akan memberikan satu impak dan semangat dakwah yang kental dalam menyampaikan risalah kebenaran – warisan para Nabi dan Sahabat.

Dakwah Dalam Penulisan

Penulisan merupakan elemen dakwah yang paling penting. Penulisan akan kekal walaupun si penulisnya telah tiada. Keberkesanan penulisan dakwah dapat memberikan ruang dakwah yang optimum di samping penyebaran pengisian dakwah yang lebih meluas. Para peserta akan diajar untuk menghasilkan penulis yang lebih sistematik dan berkesan. Malah, para peserta akan diberi peluang untuk mempersembahkan penulisan masing-masing di dalam beberapa ruang penulisan semasa yang terpilih.

Kepada sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi saudari Azwaahidah (019-5989382 / paspertama_86@yahoo.com.my) atau saudara Amir (013-7069509 / api_penang@yahoo.com.my) dengan segera. Tempat adalah terhad kepada 30 peserta terawal.
Sebarkan lampiran yang disertakan bersama-sama emel ini. Semoga dipermudahkanNya. J

Tentatif Program Madrasah Aktivis Umat (MAD’U) @ Akademi Dakwah 2009

Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API)

Tarikh

Lapangan Aktivisma

Tajuk Pengisian / Praktikal

Tempat

Penceramah / Fasilitator

30 Dis 09

Pengenalan dan Taaruf

- Pandangan Alam Tentang Perspektif Islam

- Pengantar Gerakan Islam

Sg. Dua, Pulau Pinang

- Ust Nizam Mahshar

-Ust Hafiz Nordin

1 Dis 09

Serangan Pemikiran Islam Liberal & Isu-isu Syariah

- Pengenalan Pemikiran-pemikiran Islam

- Islam & Pemikiran (LDK)

- Apa itu Liberalisma?

- Peranan pemuda mendepani dakyah-dakyah sesat

Sg. Dua, Pulau Pinang

-Ust Nizam Mahshar

-Ust Hafiz Nordin

-Izzat Anwari

-Dr Ali

2 Dis 09

Sistem Pendidikan Islam

- Falsafah Disebalik Sistem Pendidikan Islam

- Menyelongkar Isu-isu Pendidikan Semasa

- Kajian Kes (LDK)

- Halatuju Sistem Pendidikan Negara

Sg. Dua Pulau Pinang

- Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

- Dr Fadhullah Jamel

- Ust Kamaruddin Kassim

- Ustzh Mardhiah Zakaria

- Cikgu Sakinah Abd Hamid

- Cikgu Mohd Zaidi

3 Dis 09

Konflik Umat Islam Global

- Pembahagian Isu Umat Islam Antarabangsa

- Merungkai Permasalahan Umat Islam Sedunia, Peranan Individu Muslim

- Kajian Kes: Memahami Realiti Sebenar Krisis Selatan Thai

- Plan Tindakan Krisis Selatan Thai (LDK)

Sg. Dua Pulau Pinang

- Mohideen Abd Kader

- Fawaz Abd Aziz

- Dr Kamarulzaman

- Dr Roslan Hashim

- Mohd Saiful Affindi

- Tetamu aktivis DeepPeace, HAP, dan SFST dari Patani.

4 Dis 09

Sosio Ekonomi Umat Islam

- Pengenalan Sistem Ekonomi Islam, Perbezaannya Dengan Kapitalisma dan Sosialisma

- Kajian Kes Isu Perkampungan Melayu dan Tanah Wakaf: Turun Lapangan ke Tg. Tokong & Kg. Makam.

Sg. Dua, Tg. Tokong, Kg. Makam, Pulau Pinang

- Norhadi Hamsar

- Pak Usop (PAJIM), Cg Saleh, Shahril, Hafiz

5 – 6 Dis 09

Masyarakat Orang Asli dan Anak Yatim

- Permasalahan dan Aktiviti Dakwah Orang Asli di Malaysia

- Permasalahan Anak Yatim Di Malaysia

- Turun Lapangan ke Perkampungan Orang Asli

Kuala Mu Perak

- Salman Siddiqi

- Mohd Shahrizal

- Izzat Anwari Hasni

7 – 9 Dis 09

Alam Sekitar dan Kepenggunaan

- Isu Alam Sekitar Di Malaysia

- Erti Pembangunan Sebenar

- Islam Dan Ekologi

- Kajian Kes: Pembangunan Vs Kuari Jerai

- Bagaimana Mengadu Dan Mendapatkan Hasil

- Story Of Stuff

- Turun Lapangan: Soal selidik Isu Alam Sekitar dan Strategi Tupperware.

Singkir Kedah

- Ust Nizam Mahshar

- Fatin Kamaruddin

- Prof. Talhah

- Shamsul Ery

- Mohd Ridzuan

10 – 11 Dis 09

Permasalahan Sosial

- Situasi Permasalahan Sosial Negara

- Pengenalan Dakwah Lapangan Dan Pemetaan Komuniti

- Strategi Hemoi dan Kaunseling Lapangan

- Turun Lapangan: Isu Gam, Arak, Pusat Hiburan, Mat Rempit, Dadah dan Pergaulan Bebas.

- Membuat Laporan dan Bantahan

Sg Petani Kedah

- Ust Abdullah

- Asti Toba

- Noor Azam

- Mohd Farid

- Abrar

- Kak Long Siti

- Nurfitri Amir

- Ust Ali

12 Dis 09

Penulisan

- Membina Asas Penulisan

- Bagaimana Menganalisa Isu

- Bagaimana Menulis Artikel?

- Bagaimana Menulis Di Akhbar?

Yan Kedah

- Wan Azalina

- Ust Azizi

- Mariani

- Haris Zalkapli

13 Dis 09

Resolusi dan Perancangan Gerak Kerja

- Satu Dunia Baru

- Bergerak Dalam Satu Angkatan

- Strategi Masa Depan

Yan Kedah

- Izzat Anwari

- Norhadi Hamsar

- Mohd Saiful Affindi

- Fatin Safiah

- Azwahida Badaruddin

- Mohd Zaidi



--
`Izzat Anwari bin Hasni,
Ketua Usrah Pemikiran,
Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API),
Persatuan Ulama' Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP),
Pulau Pinang.
Blog: http://DarahMerdeka.wordpress.com

Read more...

Pemangkin Hizibku

  © Green islamic Template by islamic313.blogspot.com 2008