08 September 2011

PERUTUSAN SEMPENA AIDILFITRI 1432H & ULANGTAHUN KEMERDEKAAN KE-54

بسم الله الرحمن الرحيمالحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله واله وأصحابه
Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu.” (Surah Al Baqarah : 185)

AlhamduliLlah, sudah hampir genap sebulan kita menunaikan kewajipan berpuasa dan semakin hampirlah kita dengan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Mudah-mudahan segala amalan dan kebajikan yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini diterima dan diberkati-Nya. Sesungguhnya Ramadhan sudah pasti akan ‘meninggalkan’ kita tetapi rahmat dan keampunan Allah sentiasa terbuka kepada mereka yang mengkehendakinya. كن ربانيا ولاكن رمضانيا – Jadilah kita hamba Allah dan usahlah kita menjadi ‘hamba Ramadhan’. Moga-moga kita terus beristiqamah membaca al-Quran, mentadabbur, melakukan kebajikan dan amalan-amalan sunat yang lain.

Rasulullah s.a.w ketika menyambut Syawal telah membacakan Surah Al-Qaf dalam raka’at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka’at kedua solat Aidilfitri baginda. Adalah satu kehairanan bagi para sahabat baginda dan kita hari ini kerana kedua-dua ayat yang menceritakan tentang peristiwa hari kiamat itu dibacakan pada hari paling gembira buat umat Islam.

Namun disana Rasulullah mahu supaya kita tidak lupa diri dan mengingati bahawa Hari Raya adalah hari yang paling hampir untuk kita menemui Allah. Keriuhan hari raya seharusnya digamatkan dengan takbir dan laungan selawat serta memperatkan ikatan ukhuwah antara semua insan khususnya kalangan umat Islam.

Hari Raya Aidilfitri tahun ini dijangka serentak dengan Ulangtahun Kemerdekaan negara kita yang ke-54. Oleh itu, sewajarnya bagi diri para naqib/naqibat sekalian memahami erti kemerdekaan yang sebenarnya, bukan sahaja bebas dari belenggu penjajahan namun lebih daripada itu. Semangat patriotisme sebagai warganegara perlu diterapkan agar kita terus berusaha memakmurkan negara yang kita cintai ini.

Majlis Tarbiyah Nuqaba (MTEN) berharap agar kedua-dua peristiwa besar tersebut menjadi batu loncatan untuk para nuqaba memahami tuntutan sebenar Islam yang bukan sahaja sebagai agama untuk beraya, tetapi ianya harus dilihat dari seluruh ruang lingkup kehidupan. Usaha merencana islah menerusi wadah usrah perlu kita teruskan kerana kita adalah penyambung risalah nubuwwah yang diwarisi daripada Nabi Muhammad s.a.w.

Barisan kepimpinan MTEN 2011/2012 mengucapkan Selamat Hari Raya dan Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan ke-54 buat seluruh naqib/naqibat dan pelajar IPG Kampus Pendidikan Islam seluruhannya. Semoga Hari Raya kali ini memberikan makna dan perubahan besar dalam hidup kita dengan Allah sentiasa di dalam hati.

"FIKRAH MEMBINA SAHSIAH MURABBI"
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Muhammad Izzul Islam bin Hasni
Presiden
Majlis Tarbiyah Nuqaba

Read more...

Pemangkin Hizibku

  © Green islamic Template by islamic313.blogspot.com 2008