CETUSAN RASA DAN PENDAPAT
Baharu sahaja selesai Kuliah Dhuha : Isu Penggunaan Nama Allah dan Kristianisasi yang bertempat di Masjid As-Syafie, IPGM Kampus Pendidikan Islam. Dengan kehadiran yang begitu memuaskan serta penglibatan para pensyarah dan ahli-ahli qariah amat membuktikan bahawa isu ini perlu diketahui oleh semua peringkat umur dan disampaikan kepada masyarakat. Kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Rashidy Jamil Muhammad Ar Rashid, Presiden Tuan Sharifah Islamic Foundation, begitu berkesan sehingga menaikkan semangat pelajar-pelajar IPGM Kampus Pendidikan Islam untuk bersama dalam menyebarkan dakwah walaupun dalam framework sebagai guru pelatih. Situasi hari ini sungguh membimbangkan. Gerakan Kristianisasi terus ‘berkembang’ dengan kesungguhan para mubaligh Kristian dengan menggunakan manhaj yang sesuai berbanding para pendakwah Muslim (bukan semua). Komik-komik yang berunsur Kristianisasi diterbitkan dan diberikan secara percuma untuk tatapan kanak-kanak di kawasan Bukit Bintang agar menjadi ‘input’ buat mereka serta penyebaran risalah-risalah ‘Rahsia Jalan Lurus’ yang diberikan percuma kepada pelajar di Sabah dan Sarawak. Sebelum terlupa, saya menyeru agar Biro Dakwah JPP kampus ini dapat merancang satu program khusus (cth : Kursus Perbandingan Agama) sebagai ‘add value’ buat para guru pelatih khususnya yang akan posting tidak lama lagi (KPLI) yang besar kemungkinan akan dihantar ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak agar dapat memahami dan menjadi ‘duta’ dalam perbandingan agama ini serta dapat menyebarkan dakwah ke seluruh bumi Malaysia. Teringat kata-kata Pak Muhammad Natsir, Mantan Perdana Menteri Indonesia , “Sudah sempurna perpecahan kami di Indonesia” dan Allahyarham berkata lagi, “Malaysia adalah benteng terakhir Islam di rantau serumpun dan seagama ini”. Alangkah beratnya tanggungjawab kita sebagai Muslim dalam mempertahankan agama Allah di bumi Malaysia ini. Tidak perlu mempersoalkan di mana pendakwah Muslim yang lain tapi perlu mempersoalkan apakah peranan kita sebagai seorang Muslim . Bak kata orang utara, “Buat apa satu, jangan tak buat apa satu”. Berbalik kepada penggunaan nama Allah tadi jelas bahawa pihak Kristian segaja untuk menggunakan nama Allah dalam terjemahan kalimah Tuhan dalam Bahasa Malaysia, untuk memudahkan mereka memurtadkan orang Islam. Betapa liciknya mereka. Bukan taraf saya untuk memperlekehkan pendapat para alim ulama (yang membenarkan penggunaan kalimah Allah) yang jauh lebih arif daripada saya, namun persoalannya adakah kita sedar bahawa isu ini jelas adalah TUNTUTAN yang ke-9 oleh IFC (Inter-Faith Commision) yang mahu kalimah/istilah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah ini digunakan dalam percakapan dan sebagainya. Benar pendapat Dr. M. Asri Zainul Abidin yang berpendapat bahawa akidah bukan diukur dengan nama tetapi dengan tauhid atau kesyirikan penganutnya. Tetapi adakah kita melihat kesan penggunaan istilah-istilah ini dalam worldview ? Tulisan ini hanya sebagai luahan penulis sahaja.
Ibnu Hasni al-Jundy
1318
0 ulasan:
Catat Ulasan