SALAH LAKU PELAJAR : SALAH SIAPA?
Info
• 5.4 juta pelajar di seluruh negara
• Indeks pembabitan pelajar dalam jenayah 0.03 peratus berbanding jumlah keseluruhan
• Usia pelajar bermasalah 13 - 18 tahun
• Statistik polis: 2007 - 1,837 kes jenayah dan 3,383 pelajar ditahan; 2008 - Meningkat kepada 2,218 kes dan 3,725 pelajar ditahan.
• Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia, 48.1 peratus samseng jalanan berpunca akibat kebosanan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang dan 27.8 peratus dipengaruhi kawan.
• Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia - Seramai 295 pelajar terbabit dalam pelbagai jenayah sepanjang tempoh dua bulan pertama tahun ini.
• Kajian Universiti Malaya - masalah disiplin utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme.
Sumber : Berita Harian
Isu salah laku pelajar di sekolah berada pada tahap yang ‘merbahaya’. Setiap hari ada sahaja masalah displin yang dilaporkan sama ada dalam akhbar mahupun majalah. Makin muak melihat pendedahan media massa tentang masalah pelajar di sekolah. Namun, itulah hakikat yang tidak dapat dinafikan dalam kemelut permasalahan pendidikan di Malaysia. Merokok, buli, vandalisme, mencuri, mengugut guru dan sebagainya sudah menjadi kebiasaan bagi para pendidik yang semakin bingung dan tertekan. Itu belum lagi masalah yang berlaku di luar kawasan sekolah seperti samseng jalanan, hidu gam, meragut, menagih dadah, minum arak, ponteng sekolah, juvana, seks bebas dan lain-lain.
Mengimbas kembali sirah di zaman Rasullullah, di mana para pemuda yang berumur sekitar belasan tahun sanggup menyusup masuk ke dalam angkatan tentera Baginda kerana takut Rasullulah tidak membenarkan mereka(pemuda) untuk berjihad dan seterusnya mengidamkan syahid. Umair bin Abi Waqas, Ibnu ‘Afra’, Samurah bin Jundub dan Raf’ bin Khudaij antara pemuda di zaman Rasulullah yang belum cukup umur untuk berperang dan disuruh pulang ke rumah masing-masing.
Namun, setelah mereka merayu akhirnya Rasulullah membenarkan mereka menyertai peperangan dan akhirnya cita-cita mereka untuk syahid dimakbulkan Allah. Betapa kontranya keadaan pemuda khususnya pelajar pada hari ini yang mahu menjadi ‘juara’ dalam masalah sosial berbanding pada zaman Rasulullah yang dahagakan syahid.
Kemelut permasalahan ini dapat dirasai apabila kita ‘turun padang’ melihat pelajar yang bermasalah ini. Modul dan praktikal yang dijalankan oleh Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) menerusi Latihan Aktivis Dakwah Dalam Isu Sosial (LANDAS) boleh menyedarkan masyarakat tentang keadaan pelajar masa kini berbanding hanya membaca berita dan sebagainya. Benarlah kata tokoh negarawan Indonesia, Pak Muhammad Natsir bahawa pemimpin tidak lahir di bilik-bilik kuliah, namun lahir daripada kemelut permasalahan masyarakat.
Apakah penggunaan rotan yang dihebohkan baru-baru ini mampu merubah keadaan yang sedemikian? Jika dibiarkan masalah salah laku ini akan menjadi ”catastrophy” (bencana besar) negara 20 tahun akan datang. Tan Sri Lee Lam Thye selaku Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun 2009 ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh. Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan anak muda itu. Kajian pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Tie Fatt Hee, membabitkan 740 responden merumuskankan jenayah di sekolah tetap berlaku sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar.
Jika virus selsema babi, H1N1 sudah diumukan sebagai ‘pandemik’ besar oleh World Health Organisation (WHO), maka Kementerian Pelajaran harus mengumumkan pula pandemik ‘barah’ salah laku pelajar di sekolah. Sudah banyak penghargaan yang diberikan kepada institusi pendidikan di Malaysia antaranya di peringkat UNESCO, Komanwel dan sebagainya, namun masalah pelajar sama ada di dalam sekolah ataupun di luar sekolah bukan semakin berkurang malah semakin meningkat. Aktiviti kokurikulum di sekolah seperti Kelab Pencegah Jenayah dilihat kurang efektif dan kurang berfungsi di peringkat sekolah.
Sudah banyak kajian dan pendedahan yang dilakukan telah membuktikan bahawa salah laku pelajar hari ini semakin menjadi ‘barah’ kepada institusi pendidikan di Malaysia. Salah siapa?,KPM?,Menteri?,Sekolah?,Cikgu?,Guru Besar?,Guru Displin? Seharusnya tidak timbul situasi menyalah satu pihak sahaja, malah semua pihak harus memikirkan penyelesaian serta memberi pandangan kepada pihak atasan dalam mengatasi salah laku pelajar sekolah. Sikap keterbukaan kementerian terhadap isu-isu pendidikan diharap mampu menarik pelbagai pihak untuk molontarkan idea yang mampu memberi transformasi yang besar kepada institusi pendidikan di Malaysia. Semoga pendidikan di Malaysia mampu mencorak masa depan agama, masyarakat dan negara dengan lebih gemilang.
Muhammad ‘Izzul Islam bin Hasni
0 ulasan:
Catat Ulasan