28 Mei 2010

YOUTH '10 vs FREEDOM FLOTILLA 4 GAZA


Tanpa henti, agenda meruntuhkan jati diri dan nilai sesebuah bangsa dan agama terus tegar dilancarkan. Jika dahulu serangan ini hanya membabitkan hanya beberapa kelompok dalam masyarakat tetapi kali ini serangan tersebut disasarkan melampaui batasan lapisan masyarakat tanpa mengira apa latar belakang yang melatari kumpulan sasaran kepada agenda jahat terbabit. Namun agenda begitu bertambah licik dan berwajah mesra bahkan mengandungi agenda utama yang tersurat yang dilihat sangat memberi manfaat yang lumayan kepada semua sasarannya..



Sebuah festival terbesar untuk belia setelah dijalankan sejak 2008 yang dinamakan YOUTH merupakan acara yang dianjurkan oleh YouthAsia iaitu sebuah pertubuhan belia yang bersifat serantau dan festival yang bakal dilaksanakan akan semakin menambah bilangan para pengunjung sekaligus membentuk sebuah acara tahunan baru khusus untuk belia.



Kali ini, agenda terbabit lebih meluas bahkan sebelum ini pun sudah wujud beberapa program yang bersifat demikian. Merempuh nilai intelektual yang melingkari oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan mewujudkn penglibatan program bersama beberapa IPTA, dan agak malang juga, program ini disokong penuh oleh beberapa kemeterian terutamanya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).



Festival ini hanya mempunyai satu tujuan: menghubungkan generasi belia dengan jenama, pemimpin, kerajaan dan media. Jika dilihat kepada kerangka mereka yang lebih luas, jelas bahawa program begini dipasak dengan dua agenda utama iaitu materialisme dan hedonisme selain wujud budaya kapitalisme. Pemikiran dan jiwa para belia dirambangkan dengan ganjaran yang lumayan melalui pertandingan dan persembahan hiburan yang melalaikan dan hampa dengan makna sebenar kebudayaan dan peradaban Islam dan Timur seperti Battle of the Bands dan Extreme Street Dance Challenge. Walaupun tidak dinafikan bahawa ada program untuk meningkatkan tahap keusahawanan- satu bidang yang amat digalakkan oleh kerajaan ketika ini- namun satu hal lebih penting untuk diambil perhatian ialah bagaimana program begini diatur untuk membentuk sebuah budaya baru dalam kehidupan belia namun dengan satu nilai tambah-keusahawanan.



Adakah hasil yang diperoleh daripada festival ini benar-benar mampu membentuk sebuah generasi pelapis yang memiliki keutuhan jati diri yang bersendikan nilai agama dan budaya yang tahan diuji jika dilihat betapa banyaknya program hedonistik yang dilambakkn kepada para belia negara ini? Soalan ini dikemukakan selepas penulis sendiri melihat laman sesawang YouthAsia dan beberapa laporan akhbar yang disertakan dengan foto-foto ketika program sedang berlangsung. Dukacita apabila melihat konsert-konsert di hadiri oleh kebanyakan belia Melayu-Islam dan dihanyutkan oleh dendangan muzik yang sangat melalaikan tatkala bangsa lain pula mengambil peluang daripada program ini dengan menghadirkan diri dalam beberapa seminar yang mampu memberikan pulangan yang lumayan dan nilai tambah untuk kemahiran diri yang dapat menjamin masa depan mereka.



Penulis melihat keseluruhan program yang bakal dilancarkan untuk Youth10 kali ini, penulis mendapati bahawa hanya pada festival tarian sahaja yng masih wujud jiwa Malaysia iaitu tarian tradisional Melayu, Cina dan India. Sedangkan terdapat enam festival lain yang diadakan iaitu Festival Muzik, Festival Tarian, Festival Membeli-belah, Festival Sukan, Festival Discovery, Festival Jenama Belia selain sebuah konferens.



Program ini berjalan dengan begitu lancar justeru disokong oleh pelbagai pertubuhan, organisasi media; radio, televisyen, akhbar-akhbar dan majalah tempatan pelbagai bahasa. Maka penyebaran maklumat berkaitan program ini akan merata dalam media massa harian.



Barangkali pelbagai pandangan akan wujud daripada pembacaan artikel ini seperti terkejut, pesimis, sikap tidak endah bahkan aka nada yang mengatakan bahawa penulis seorang yang berikir secara runcitan semata-mata. Namun sikap ini semua perlu kembali dinilai dengan pandangan yang jauh ke hadapan dengan kembali bertanya kepada diri sendiri iaitu Mengapa Demikian?



Dewasa ini, kebobrokan pengaruh hodoh tidak terpamer kepada khalayak dengan kehodohan asli tetapi disolek indah dengan pelbagai hiasan yang dapat menutup kehodohan tersebut. Begitu juga hedonisme yang memiliki kehodohan sifat dan sejarahnya, dilindungi kehodohannya melalui konsert-konsert hiburan yang melampau TETAPI diawali dengan motif konsert diadakan. Boleh sahaja motif tersebut untuk mengutip derma tragedi Tsunami, peperangan di Palestin, bantuan dana dan makanan untuk mangsa gempa bumi dan namakan apa sahaja tujuan konsert, sekurang-kurangnya hala tujunya membawa kepada nilai kemanusiaan sejagat. Mungkin kedengaran indah hala tuju program sebegini namun persoalan yang membawa kepada ancaman krisis jati diri nilai agama dan bangsa ialah bila pelaksanaan program tersebut sangat berorientasikan semangat hedonistik yang membakar jiwa, agenda liberalisme yang menggasak fikiran dan idea kapitalisme yang melihat keuntungan adalah segala-galanya-biarkan harga tinggi diletakkan walaupun produk tersebut hampa dengan makna.



Tanpa mengambil sikap kritis, masyarakat merasa sangat mesra untuk menerima kehadiran segala kebudayaan ini yang bersifat pelbagai tetapi didokong oleh satu aliran pemikiran dan serangan kebudayaan justeru berpegang kepada prinsip “world, world jugak akhirat jangan lupa” walaupun hakikatnya kebanyakan lapisan masyarakat tidak pula memahami segala ini dengan pandangan yang kritis apatah lagi hal ini didokong oleh sikap masyarakat kita yang memang kurang membaca, berdiskusi dan natijahnya ialah melahirkan masyarakat yang bersifat mesra dengan segala kebudayaan baru bahkan turut menjadi tukang sorak, tukang menangis, tukang undi dan segalanya. Lihat sahaja contoh-contoh yang dikeluarkan oleh rancangan bersifat realiti hiburan yang menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia dan rancangan seumpama ini semakin bertambah justeru masyarakat sendiri telah berdepang tangan untuk memeluk kehadiran rancangan sebegini.



“Apa peduli dengan adab ketimuran, Islam, Melayu, Cina, India, bukankah kita mendokong globalisasi maka mari kita bersama berbudaya seperti masyarakat seluruh dunia, berkonsert sepuasnya, berkenalan lelaki perempuan dan boleh diusung kesana kesini, Inilah budaya moden yang kami mahukan, kita mahu kebebasan tanpa sempadan”. Boleh jadi inilah bentuk pemikiran yang terbentuk dalam minda generasi muda kita.



“Biarlah kami buat semahunya, kami lulusan universiti dalam dan luar negara, kami bukan sampah masyarakat, kami ada harga intelektual, kami dokong liberalisme, feminism dan apa sahaja dan kami peroleh semua ini dalam universiti, bukannya di kaki lima atau simpang kampung ”. Barangkali pula ini bentuk jawapan golongan lulusan pengajian tinggi yang terjebak dalam budaya moden, canggih, bebas dan tanpa sempadan.



Hakikatnya inilah masalah dan dilema yang sedang dihadapi oleh para pendakwah ketika ini. Serangan pemikiran dan kebudayaan menyerang dan membentuk kader-kader dalam wajah yang pelbagai. Golongan intelektual sebagai guru dan generasi muda yang ketinggalan pelajaran pula sebagai pengikut aliran-aliran seumpama ini. Mereka menjadi sebuah kumpulan yang sangat berkaitan, ibu bapa bahkan datuk nenek, golongan masyarakat pelbagai peringkat, golongan intelektual, dan para pendakwah terkapai-kapai dalam gerak kerja mengubah struktur masyarakat daripada yang bercelaru kepada tersusun mengikut Al-Quran dan Sunnah.



Sufi Mustika


ABABIL

0 ulasan:

Pemangkin Hizibku

  © Green islamic Template by islamic313.blogspot.com 2008