28 Mei 2010

YOUTH '10 vs FREEDOM FLOTILLA 4 GAZA


Tanpa henti, agenda meruntuhkan jati diri dan nilai sesebuah bangsa dan agama terus tegar dilancarkan. Jika dahulu serangan ini hanya membabitkan hanya beberapa kelompok dalam masyarakat tetapi kali ini serangan tersebut disasarkan melampaui batasan lapisan masyarakat tanpa mengira apa latar belakang yang melatari kumpulan sasaran kepada agenda jahat terbabit. Namun agenda begitu bertambah licik dan berwajah mesra bahkan mengandungi agenda utama yang tersurat yang dilihat sangat memberi manfaat yang lumayan kepada semua sasarannya..



Sebuah festival terbesar untuk belia setelah dijalankan sejak 2008 yang dinamakan YOUTH merupakan acara yang dianjurkan oleh YouthAsia iaitu sebuah pertubuhan belia yang bersifat serantau dan festival yang bakal dilaksanakan akan semakin menambah bilangan para pengunjung sekaligus membentuk sebuah acara tahunan baru khusus untuk belia.



Kali ini, agenda terbabit lebih meluas bahkan sebelum ini pun sudah wujud beberapa program yang bersifat demikian. Merempuh nilai intelektual yang melingkari oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan mewujudkn penglibatan program bersama beberapa IPTA, dan agak malang juga, program ini disokong penuh oleh beberapa kemeterian terutamanya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).



Festival ini hanya mempunyai satu tujuan: menghubungkan generasi belia dengan jenama, pemimpin, kerajaan dan media. Jika dilihat kepada kerangka mereka yang lebih luas, jelas bahawa program begini dipasak dengan dua agenda utama iaitu materialisme dan hedonisme selain wujud budaya kapitalisme. Pemikiran dan jiwa para belia dirambangkan dengan ganjaran yang lumayan melalui pertandingan dan persembahan hiburan yang melalaikan dan hampa dengan makna sebenar kebudayaan dan peradaban Islam dan Timur seperti Battle of the Bands dan Extreme Street Dance Challenge. Walaupun tidak dinafikan bahawa ada program untuk meningkatkan tahap keusahawanan- satu bidang yang amat digalakkan oleh kerajaan ketika ini- namun satu hal lebih penting untuk diambil perhatian ialah bagaimana program begini diatur untuk membentuk sebuah budaya baru dalam kehidupan belia namun dengan satu nilai tambah-keusahawanan.



Adakah hasil yang diperoleh daripada festival ini benar-benar mampu membentuk sebuah generasi pelapis yang memiliki keutuhan jati diri yang bersendikan nilai agama dan budaya yang tahan diuji jika dilihat betapa banyaknya program hedonistik yang dilambakkn kepada para belia negara ini? Soalan ini dikemukakan selepas penulis sendiri melihat laman sesawang YouthAsia dan beberapa laporan akhbar yang disertakan dengan foto-foto ketika program sedang berlangsung. Dukacita apabila melihat konsert-konsert di hadiri oleh kebanyakan belia Melayu-Islam dan dihanyutkan oleh dendangan muzik yang sangat melalaikan tatkala bangsa lain pula mengambil peluang daripada program ini dengan menghadirkan diri dalam beberapa seminar yang mampu memberikan pulangan yang lumayan dan nilai tambah untuk kemahiran diri yang dapat menjamin masa depan mereka.



Penulis melihat keseluruhan program yang bakal dilancarkan untuk Youth10 kali ini, penulis mendapati bahawa hanya pada festival tarian sahaja yng masih wujud jiwa Malaysia iaitu tarian tradisional Melayu, Cina dan India. Sedangkan terdapat enam festival lain yang diadakan iaitu Festival Muzik, Festival Tarian, Festival Membeli-belah, Festival Sukan, Festival Discovery, Festival Jenama Belia selain sebuah konferens.



Program ini berjalan dengan begitu lancar justeru disokong oleh pelbagai pertubuhan, organisasi media; radio, televisyen, akhbar-akhbar dan majalah tempatan pelbagai bahasa. Maka penyebaran maklumat berkaitan program ini akan merata dalam media massa harian.



Barangkali pelbagai pandangan akan wujud daripada pembacaan artikel ini seperti terkejut, pesimis, sikap tidak endah bahkan aka nada yang mengatakan bahawa penulis seorang yang berikir secara runcitan semata-mata. Namun sikap ini semua perlu kembali dinilai dengan pandangan yang jauh ke hadapan dengan kembali bertanya kepada diri sendiri iaitu Mengapa Demikian?



Dewasa ini, kebobrokan pengaruh hodoh tidak terpamer kepada khalayak dengan kehodohan asli tetapi disolek indah dengan pelbagai hiasan yang dapat menutup kehodohan tersebut. Begitu juga hedonisme yang memiliki kehodohan sifat dan sejarahnya, dilindungi kehodohannya melalui konsert-konsert hiburan yang melampau TETAPI diawali dengan motif konsert diadakan. Boleh sahaja motif tersebut untuk mengutip derma tragedi Tsunami, peperangan di Palestin, bantuan dana dan makanan untuk mangsa gempa bumi dan namakan apa sahaja tujuan konsert, sekurang-kurangnya hala tujunya membawa kepada nilai kemanusiaan sejagat. Mungkin kedengaran indah hala tuju program sebegini namun persoalan yang membawa kepada ancaman krisis jati diri nilai agama dan bangsa ialah bila pelaksanaan program tersebut sangat berorientasikan semangat hedonistik yang membakar jiwa, agenda liberalisme yang menggasak fikiran dan idea kapitalisme yang melihat keuntungan adalah segala-galanya-biarkan harga tinggi diletakkan walaupun produk tersebut hampa dengan makna.



Tanpa mengambil sikap kritis, masyarakat merasa sangat mesra untuk menerima kehadiran segala kebudayaan ini yang bersifat pelbagai tetapi didokong oleh satu aliran pemikiran dan serangan kebudayaan justeru berpegang kepada prinsip “world, world jugak akhirat jangan lupa” walaupun hakikatnya kebanyakan lapisan masyarakat tidak pula memahami segala ini dengan pandangan yang kritis apatah lagi hal ini didokong oleh sikap masyarakat kita yang memang kurang membaca, berdiskusi dan natijahnya ialah melahirkan masyarakat yang bersifat mesra dengan segala kebudayaan baru bahkan turut menjadi tukang sorak, tukang menangis, tukang undi dan segalanya. Lihat sahaja contoh-contoh yang dikeluarkan oleh rancangan bersifat realiti hiburan yang menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia dan rancangan seumpama ini semakin bertambah justeru masyarakat sendiri telah berdepang tangan untuk memeluk kehadiran rancangan sebegini.



“Apa peduli dengan adab ketimuran, Islam, Melayu, Cina, India, bukankah kita mendokong globalisasi maka mari kita bersama berbudaya seperti masyarakat seluruh dunia, berkonsert sepuasnya, berkenalan lelaki perempuan dan boleh diusung kesana kesini, Inilah budaya moden yang kami mahukan, kita mahu kebebasan tanpa sempadan”. Boleh jadi inilah bentuk pemikiran yang terbentuk dalam minda generasi muda kita.



“Biarlah kami buat semahunya, kami lulusan universiti dalam dan luar negara, kami bukan sampah masyarakat, kami ada harga intelektual, kami dokong liberalisme, feminism dan apa sahaja dan kami peroleh semua ini dalam universiti, bukannya di kaki lima atau simpang kampung ”. Barangkali pula ini bentuk jawapan golongan lulusan pengajian tinggi yang terjebak dalam budaya moden, canggih, bebas dan tanpa sempadan.



Hakikatnya inilah masalah dan dilema yang sedang dihadapi oleh para pendakwah ketika ini. Serangan pemikiran dan kebudayaan menyerang dan membentuk kader-kader dalam wajah yang pelbagai. Golongan intelektual sebagai guru dan generasi muda yang ketinggalan pelajaran pula sebagai pengikut aliran-aliran seumpama ini. Mereka menjadi sebuah kumpulan yang sangat berkaitan, ibu bapa bahkan datuk nenek, golongan masyarakat pelbagai peringkat, golongan intelektual, dan para pendakwah terkapai-kapai dalam gerak kerja mengubah struktur masyarakat daripada yang bercelaru kepada tersusun mengikut Al-Quran dan Sunnah.



Sufi Mustika


ABABIL

Read more...

21 Mei 2010

Virus Ketidakpedulisme : Pattani Darul Salam




Rata-rata umat Islam hari ini melihat perjuangan di Selatan Thai lebih kepada menyelamatkan bangsa Melayu Pattani atas tiket nasionalisme. Oleh sebab itu, hilang rasa kebersamaan untuk berjuang membebaskan Pattani bersama-sama para mujahidin di sana. Lalu mereka mengambil sikap seperti enau dalam belukar, masing-masing melepaskan pucuk sendiri. Sedarlah umat Islam sekalian! Pergolakan di Selatan Thai adalah isu umat. Saudara kita di sana sedang berjuang menentang golongan yang mahu menukar agama mereka. Barangsiapa yang tidur dan tidak mengambil peduli urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari golongan mereka. Tidakkah kita gerun mengenangkan sepotong hadis baginda ini?

AMAN PATTANI (AMANI)

AMANI adalah sebuah badan bertindak terhadap isu konflik Selatan Thailand digerakkan di bawah naungan Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP) untuk menggerakkan usaha yang lebih serius dan bersungguh-sugguh dalam menyalurkan bantuan serta sokongan padu untuk keperluan saudara kita di Selatan Thai.

Objektif AMANI
1. Membangun kesedaran dan sokongan masyarakat terhadap konflik Selatan Thailand.
2. Menyediakan program latihan dan pembangunan dokongan kerja kepada masyarakat Pattani.
3. Menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa konflik.


Aman Pattani(AMANI),
d/a Serambi Dakwah,
Lorong Bagan Lalang 22,
Taman Bagan Lalang,
13400 Butterworth, Pulau Pinang

Tel Pejabat: 04 – 3980527.
HOTLINE AMANI 019-4131472
email : amanpattani@yahoo.com

Untuk sumbangan dana, sila salurkan atas nama :
Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP),

nombor akaun Bank Islam : 7043011013136

(sila maklumkan jumlah sumbangan kepada HOTLINE AMANI 019-4131472 selepas kemasukan sumbangan kerana akaun tersebut adalah akaun rasmi PUMPP yang turut digunakan untuk badan-badan lain di bawah PUMPP)

“Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkat darjatnya”.
(Riwayat Muslim)

Read more...

15 Mei 2010

GURU TERBANGSAT


Dipetik dari : http://darahmerdeka.wordpress.com/


“Ayah, kenapa laki tu angkat perempuan tu letak atas katil? Lepas tu sorang lagi laki buka seluar?,” tanya seorang anak kecil sambil menonton iklan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam yang sedang ditayang di hadapan mereka sekeluarga.

Si ayah terkedu.

“Mak, kenapa dalam akhbar ni laki dengan perempuan ni ditangkap sebab tidur sebilik? Mak dengan ayah tidur sebilik tak kena tangkap pun,” tanya si anak itu lagi dengan penuh rasa ingin tahu.


Si ibu tersentak.

Itulah hakikat realiti hidup zaman sekarang. Kawalan anak-anak di rumah seolah-olah memburukkan lagi kehidupan si anak apabila didikan ibubapa bertentangan dengan apa yang dipertontonkan kepada anak-anak mereka saban hari. Situasi ini berlaku di sekeliling kita setiap hari dan di mana-mana jua. Namun, masih ramai golongan masyarakat yang masih jahil membawa pandangan-pandangan yang bersifat ‘falsafah kosong’ menyokong segala kemungkaran yang semakin berleluasa secara rasmi di dalam media seperti yang di‘fatwa’kan oleh ‘Nabi-nabi’ mereka – artis dan politikus.

Media Dan Pendidikan

Media merupakan salah satu ruang pendidikan yang mengajar manusia melalui pengulangan agenda di sebalik setiap paparan yang disajikan bagi mencapai keyakinan kepada setiap pembaca, pendengar, dan penonton yang mengikutinya. Keberkesanan penanaman keyakinan para pengikut media hampir tidak diragui sehingga media hari ini menjadi elemen utama dalam menyampaikan sebarang bentuk pengetahuan semasa kepada golongan massa.

Ivan Pavlov, seorang pakar psikologi, fisiologi, antropologi, serta perubatan dari Rusia yang menjadi salah satu individu rujukan paling asas bagi sistem pendidikan di Malaysia melalui penemuannya tentang teori tingkahlaku. Ivan Pavlov menerima Anugerah Nobel dalam bidang Fisiologi Perubatan pada tahun 1904 dan merupakan individu yang sangat berpengaruh sewaktu hayatnya sehingga teorinya dikembangkan lagi oleh Carl Jung.

Beliau menggunakan anjing sebagai subjek eksperimen dan membuktikan tingkahlaku haiwan adalah tindakbalas atas apa yang dipercayainya. Dalam eksperimen tersebut, anjing akan diberi makanan dan tindakbalas seperti penghasilan air liur diperhatikan. Kemudian, makanan akan diberikan kepada anjing tersebut setiap kali loceng dibunyikan. Setelah beberapa lama langkah ini dilakukan, eksperimen disambung dengan membunyikan loceng tanpa memberi makanan kepada anjing tadi. Ternyata, anjing tersebut masih mengeluarkan air liur akibat loceng yang dibunyikan walaupun tiada makanan yang diberi.

Mengapa ini berlaku? Secara ringkasnya, anjing tersebut telah diyakinkan dengan pengulangan sistem loceng dan makanan sehingga ia yakin makanan akan diberikan setelah loceng dibunyikan – walaupun sebenarnya tidak. Dan hari ini, teori ini diajar kepada kesemua bakal guru tetapi ibrah penemuan ini tidak disalurkan ke tempat yang sepatutnya.

Sayang sekali penggubal sistem dan pihak yang berkaitan tidak dapat membezakan antara manusia dan anjing sehingga tidak mempedulikan kebejatan mungkar yang berada di sekeliling masyarakat saban hari!

Akhlak Intinya Aqidah

Perilaku manusia iaitu akhlak merupakan satu bentuk perbuatan yang dinilai sebagai baik oleh naluri kemanusiaan itu sendiri. Namun, sandaran penilaian akhlak kepada naluri kemanusiaan semata-mata nyata menjadi perdebatan yang hebat dalam kalangan ahli jiwa. Penilaian sebegini jelas mempunyai percanggahan pendapat yang sangat kritis terutama dari sudut perkara-perkara yang berbentuk metafizika.

Sebab itulah budaya hidup gay serta lesbian yang diterima di Barat langsung menjadi tentangan yang hebat di negara-negara lain terutama di Malaysia akibat perbuatan ini dinilai sebagai tidak bermoral oleh kebanyakan masyarakat di sini. Budaya jijik sebegini diterima di Barat atas dasar pandangan alam Barat yang lebih mengutamakan kebebasan hak individu dalam melakukan perkara-perkara baharu yang di anggap sebagai moden. Pandangan alam sebegini ternyata songsang atas ukuran naluri manusia yang dididik dengan keilmuan yang sahih lagi benar – pendidikan Islam.

Oleh sebab itulah di dalam Islam akhlak seseorang manusia dinisbahkan kepada al-Qur’ān serta segala perilaku, perkataan dan pembenaran oleh RasuluLlah SAW iaitu al-Sunnah. Malah, kayu ukur akhlak sebegini akan kekal sejak daripada kewafatan RasuluLlah SAW sehinggalah Hari Kiamat nanti. Ukuran inilah yang menjadikan umat Islam senantiasa menilai tingkahlaku mereka sama ada mematuhi piawaian yang digariskan oleh Allah SWT serta Nabi Muhammad SAW atau tidak.

Maka, walau di mana umat Islam berada, walau pada bila-bila masa umat Islam bertindak, mereka akan melakukan yang terbaik dan selaras dengan anjuran yang diketengahkan di dalam Islam – bukan lakonan semata-mata seperti yang dibuat-buat di hadapan kamera atau di khalayak ramai sebagai puji-pujian palsu.

Aqidah yang ditanam subur di dalam jiwa manusia ini akan menumbuhkan pohon akhlak yang benar-benar memahami tujuan penciptaan manusia di dunia. Oleh itu, walau di tempat yang tersorok sekalipun, manusia yang terdidik sebegini percaya sepenuhnya bahawa Allah Maha Melihat dan seterusnya melakukan perkara-perkara yang baik bersandarkan kebaikan yang dianjurkan di dalam Islam.

Rasulullah SAW Sebagai Suri Teladan

Kedatangan Nabi Muhammad SAW dalam masyarakat Arab jahiliyyah tatkala mereka di ambang kehancuran merupakan satu rahmat yang terlalu tinggi nilainya dari Allah SWT. Pada waktu itu, masyarakat Arab jahiliyyah kehilangan adab sebagai manusia sehingga menimbulkan pelbagai kerosakan sistem kehidupan mereka baik dari sudut sosial, politik, mahupun akhlak.

Akhlak serta percakapan baginda RasuluLlah SAW yang begitu menyenangkan masyarakat Arab jahiliyyah ketika itu telah menarik hati masyarakat dalam menerima Wahyu yang disampaikan oleh baginda RasuluLlah SAW. Namun, segelintir manusia yang masih ego serta mementingkan kesenangan duniawi ingkar atas kebenaran yang dibawa oleh RasuluLlah SAW sehingga mereka memusuhi malahan membenci baginda walaupun baginda menyampaikan risalah da‘wah dengan jalan yang paling berhikmah.

Pada ketika itu baginda RasuluLlah SAW dan para Sahabat baginda yang memegang teguh pendirian sebagai muslim ditentang hebat sehingga ada yang disiksa hingga terbunuh. Majoriti masyarakat ketika itu sangat tidak menyenangi kebenaran yang dibawa baginda kerana perhitungan mereka hanyalah semata-mata demi kepentingan harta benda yang tidak kekal lama. Kebenaran tersebut bagi mereka ternyata menyebabkan kepentingan duniawi yang dinikmati selama ini akan tergadai.

Tentangan demi tentangan, ditambah pula dengan tomahan palsu yang dikenakan ke atas umat Islam ketika itu diterima dengan hati yang menyerah kepada Allah SWT serta baginda RasuluLlah SAW secara total. Akibat keteguhan baginda RasuluLlah SAW serta para Sahabat yang sama-sama memperjuangkan aqidah ini, kita hari ini dapat menikmati kebahagiaan yang hakiki yang menjadikan pertemuan kita dengan Allah SWT di Akhirat sana sebagai tujuan hidup.

Malah, baginda RasuluLlah SAW pernah bersabda:

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”

Sayang seribu kali sayang, Nabi junjungan besar kita hari ini hanya dislogankan ketika Maulidur Rasul serta diselitkan Hadith baginda di celahan program televisyen serta iklan yang berteraskan budaya sesat yang diperangi oleh baginda RasuluLlah SAW sendiri ketika hayat baginda. Penghinaan sebegini dilihat sebagai norma masyarakat bilamana tiada seorang pun muslim di Malaysia yang bangkit lalu membela kesucian teras Islam yang dipermainkan sebegitu rupa. Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa kita atas kelalaian diri kita sendiri.

Cegah, Bukan Ubati

Perilaku serta risalah da‘wah yang disampaikan oleh baginda RasuluLlah SAW sebenarnya merupakan rujukan utama umat Islam dalam memandu kehidupan manusia menuju hakikat penciptaan mereka di dunia dan tujuan hidup mereka setelah dibangkitkan di Akhirat kelak. Peringatan baginda RasuluLlah SAW ini adalah hadiah yang tidak ternilai kepada umat akhir zaman dalam membentuk masyarakat yang benar-benar faham serta yakin tentang kehidupan yang bahagia serta sejahtera dalam erti kata yang sebenarnya.

Pelbagai kerosakan dalam kalangan muda-mudi hari ini terutamanya, sepatutnya dapat dicegah lebih awal lagi sehingga tidak menimbulkan sebarang kerosakan sistem kehidupan bermasyarakat. Peribadi contoh oleh baginda RasuluLlah SAW serta penghayatan terhadap faham ilmu dan kebahagiaan yang benar yang dibawa melalui al-Qur’ān seharusnya disampaikan kepada seluruh masyarakat sedari kecil lagi.

Penularan budaya rempit yang menyebabkan kematian beberapa mangsa yang terlibat baru-baru ini dilihat sebagai ‘menang sorak kampung tergadai’. Slogan-slogan berbaur kemajuan dan pembangunan yang dikecapi negara selepas kemerdekaan mengisi hampir setiap ruang media sehingga masyarakat benar-benar percaya bahawa negara ini mencapai suatu tahap kehidupan yang memuaskan tanpa melihat dengan mata hati bahawa masyarakat hari ini tidak ubah seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi.

Filem-filem yang mempromosi budaya rempit dan gejala sosial diberi ruang yang cukup besar semata-mata ingin mengaut keuntungan atas kehebatan aksi-aksi samseng serta kegagahan para pelanggar salahlaku undang-undang. Dengan alasan ‘mendalami jiwa rempit’, semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kemungkaran rasmi ini dilihat seolah-olah sebagai hero bilamana mengenengahkan realiti masyarakat di dalam media massa.

Maka, pengajaran apa yang benar-benar dijadikan asas kehidupan oleh para penonton dan pembaca media massa? Adakah dengan memperbesarkan isu gejala sosial dengan penyampaian yang menyimpang sebegini dapat memberi kesedaran yang benar-benar meresap ke dalam jiwa anak-anak muda sehingga mereka takut untuk melakukannya?

Gejala sosial hari ini seperti air yang melimpah daripada sebuah kolah. Kebanyakan masyarakat terutama politikus serta pihak berkuasa berusaha menimba air yang melimpah untuk dibuang bagi mengelakkan kawasan di sekeliling kolah kotor dan berbahaya akibat licin. Tiada sesiapa yang berani bangkit dan menutup pili – punca air melimpah – kerana yang membuka pili adalah diri mereka sendiri!

Pembatal Pendidikan

Pendidikan hari ini di ambang kerosakan yang benar-benar membimbangkan. Kebimbangan ini bukanlah hanya lafaz di mulut atau lagak kepura-puraan di hadapan kamera, tetapi lahir daripada kefahaman ilmu yang sahih hasil adab didikan yang sempurna sehingga cetusan rasa dan tingkahlaku daripadanya terbit melalui kesedaran manusia itu sendiri tentang hakikat kehidupan.

Guru-guru hari ini seolah-olah menjalankan tanggungjawab yang sangat sia-sia bilamana mengajar di sekolah dengan bersungguh-sungguh. Separuh hari yang digunakan di sekolah oleh murid-murid dalam memahami erti ilmu serta hakikat kehidupan dibatalkan sepenuhnya dengan lambakan kesesatan yang nyata hasil dakyah pihak media yang tidak bertanggungjawab. Iklan-iklan di televisyen serta drama-drama palsu yang memperlihatkan kepada anak-anak muda erti kehidupan terletak kepada wang serta wanita diberi anugerah tertinggi setaraf martabatnya seperti pencapaian para cendekiawan ilmu. Ini memberikan fenomena yang sangat bertentangan dengan pembelajaran murid-murid di sekolah. Tatkala guru di sekolah mendidik anak murid, ada ‘guru’ di luar sekolah yang membangsatkan anak murid!

Jadi, mengapa harus diteruskan usaha mendidik anak murid di sekolah jika masih dungu lagi para pengawal sistem media yang hanya mementingkan rating program yang diterbitkan sehingga sanggup menyelitkan unsur-unsur negatif sebagai pelaris?

Kotoran di hati harus dibersihkan dahulu sebelum dimasukkan ilmu yang benar ke dalam jiwa murid-murid. Mana mungkin perkara ini berjaya dilakukan jika media masih mempengaruhi masyarakat dengan memaksa agenda sesat mereka disumbat ke dalam minda. Maka, tugas guru menjadi lebih berat lagi – mendidik anak murid serta membentuk sistem kekeluargaan masyarakat yang benar-benar memahami tujuan pendidikan sama ada di dalam mahupun di luar sekolah.

Hujah Atas Ilmu, Bukan Sangkaan

Sebilangan masyarakat memberi komen negatif terhadap gejala sosial yang berlaku saban hari memperlihatkan kepada kita kesedaran yang timbul benar-benar memberangsangkan. Namun, harus diingat bahawa pendapat masyarakat kebanyakan tidak boleh dijadikan ukuran tertinggi dalam menilai cara-cara menangani gejala sosial yang semakin merebak gara-gara kebiadapan pihak media yang mencari keuntungan hasil kesesatan mereka yang ditampilkan di dalam media massa.

Kajian atas ilmu yang sahih serta adil sepatutnya menjadi kayu ukur dalam membincangkan permasalahan media dan gejala sosial. Pencegahan di peringkat awal sepatutnya dapat dijalankan, tetapi atas campur tangan politik serta pengaruh wang, kemungkaran dengan rasminya di‘halal’kan oleh sebilangan besar masyarakat untuk bertapak kukuh dalam media.

Malah, cadangan serta komen daripada pemimpin tertinggi negara sekalipun dilihat sebagai ‘melepaskan batuk di tangga.’ Keseriusan tindakan yang sepatutnya di ambil dalam mencegah kerosakan akhlak dalam kalangan remaja harus disandarkan kepada keilmuan yang sahih lagi benar, bukan semata-mata atas jawatan atau kuasa yang disandang. Jika perkara sebegini masih berlanjutan, tidak mustahil suatu hari nanti negara akan membenarkan segala macam kemungkaran akibat pihak berkuasa yang tidak sanggup lagi menanggung kos mengubati gejala sosial yang semakin meruncing.

Ternyata aqidah umat Islam hari ini masih rapuh sehingga sanggup mengenepikan hakikat kehidupan di dunia sebagai pinjaman serta mempermainkan hasrat murni sebilangan kecil masyarakat yang memperjuangkan kebenaran.

Hati, Mata, dan Telinga

Allah SWT dengan keras memberi amaran kepada manusia yang apabila disampaikan kebenaran kepada mereka, mereka masih lagi membiakkan lagi kemungkaran di muka bumi. FirmanNya di dalam al-Qur’ān:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti Keesaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat), mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai.” [QS al-A‘rāf 7:179]

Sungguh, keterangan Allah SWT ini jelas serta benar bagi umat manusia menginsafi perilaku mereka saban hari. Bagi mereka yang benar-benar memahami tujuan penciptaan mereka di dunia ini, perjuangan dalam menegakkan kebenaran masih berlangsung dengan meletakkan Allah SWT sebagai sebaik-baik penolong dan pelindung. Bagi mereka yang ragu-ragu dengan kebenaran al-Qur’ān, pelbagai alasan yang sengaja direka bagi menyedapkan hati mereka sendiri dijadikan sebagai sandaran rapuh dalam meneruskan kembali usaha melipatganda kepentingan duniawi mereka yang bakal menghancurkan jiwa raga mereka sendiri daripada sudut pandang hakikat kehidupan.

Wahai guru, didiklah anak muridmu menjadi sebenar-benar manusia, bukan membela nafsu masyarakatmu yang semakin menggila.

*tajuk artikel ini bukan berniat untuk mencela kerjaya guru, namun kegelisahan yang amat mendalam serta kesesakan jiwa yang semakin menebal memberikan saya keupayaan untuk melonjakkan kesedaran para guru bahawa di luar sekolah masih ada ‘guru’ yang membatalkan didikan yang kita berikan selama ini di dalam sekolah. Kekecewaan saya sangat mendalam, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui isi hati ini. “Ampunilah dosa kami Ya Allah, kerana gagal mendidik generasi kami dalam mengenal serta mencintaiMu.”

Iklan : Promosi Hebat

Al-Quran Terjemahan Maghfirah (Perkata + Asbabul al-Nuzul)

Harga Runcit: RM 100 each

Hubungi saya : 019-4491871 atau uranium_213@yahoo.com
Terbuka khusunya warga IPG Kampus Pendidikan Islam







Read more...

06 Mei 2010

Malam Lambaian Wida' 2010



Read more...

04 Mei 2010

Siri Pendidikan ABABIL




InsyaALlah mulai Mei 2010, pihak ABABIL akan mula menerbitkan artikel-artikel menarik mengenai ISLIB (Islam Liberal) untuk tatapan dan memberikan pendedahan kepada pembaca agar peka akan kefasadan yang telah dan akan mereka rencanakan. Artikel-artikel ini akan diupdate setiap minggu. Tulisan-tulisan intelektual Muslim seperti Adian Husaini (INSISTS), Hamid Fahmy Zarkasyi dan sebagainya diketengahkan sebagai pencerahan (enlightment) dalam memahami ajaran sesat ini. Sekian.

Layari blog ABABIL : http://ababil.wordpress.com/

Read more...

Pemangkin Hizibku

  © Green islamic Template by islamic313.blogspot.com 2008