18 Mei 2011

BUAT YANG BAKAL BERGELAR GURU


SABAN tahun, tanggal 16 Mei merupakan tarikh istimewa yang cukup bermakna bagi insan bergelar ‘guru’. Hampir 360,000 golongan pendidik seluruh negara diraikan sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini. Tarikh 16 Mei dipilih kerana pada tarikh yang sama dalam tahun yang sama 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council ) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report Of The Education Commitee) sebagai dasar pelajaran negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak, telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu (16 Mei 1956).

Kemeriahan Hari Guru ini turut dirasai oleh bakal-bakal guru terutamanya di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara. Ucapan-ucapan ‘Selamat Hari Guru’ dalam bentuk sistem pesanan ringkas (SMS) dikirim melangkaui daerah dan sempadan negeri walaupun pada asasnya kita masih belum menamatkan pengajian apatah lagi disahkan jawatan. Bagi guru-guru di sekolah pastinya banyak menerima hadiah-hadiah daripada anak murid sebagai salah satu tanda penghargaan kepada mereka.

Pada masa yang sama, kita seharusnya menyedari hakikat bahawa kitalah generasi pendidik yang bakal merencanakan matlamat pendidikan itu sendiri iaitu untuk melahirkan insan yang baik (to produce a good man) seperti yang diungkapkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism, “The aim of education in Islam is therefore to produce a goodman”. Guru juga dianggap sebagai seorang ‘jurutera manusia’(the engineer of human beings) yang mampu menjadi agen perubahan manusia dan seterusnya menjanakan perubahan kepada masyarakat dan negara ke arah yang lebih baik.

Tidak cukup dengan itu, para bakal pendidik khususnya perlu mempersiapkan diri dengan rapi bagi mengilhamkan kejayaan dan mencipta masa depan negara dan agama yang cemerlang. Persiapan yang utama perlu ada kepada guru ialah bersedia untuk menambah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang bagi mengatur langkah bagi membangunkan akal, hati, jasmani, emosi dan sosial yang sememangnya sudah tercipta dalam diri setiap manusia.


Seorang pendidik juga seharusnya membersihkan jiwanya terlebih dahulu sebelum membimbing manusia kepada Tuhannya. Menerusi pembersihan jiwa, akan lahirlah pendidik-pendidik yang berakhlak dengan akhlak Islam yang unggul dan menjadi penyuluh kepada murid-murid untuk dididik dan dibimbing oleh murabbi. Usahlah kita menjadi umpama ‘ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus’ sekiranya kita masih belum mampu berjalan dengan betul.

Sesungguhnya, cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar memerlukan kesediaan fikrah yang jelas, pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang tinggi di kalangan pendidik. Di tangan kitalah, tergalas amanah dan tanggungjawab untuk mendidik pelajar yang suatu ketika nanti akan berada di gelanggang masyarakat. Salam muhasabah.

FIKRAH MEMBINA SAHSIAH MURABBI



Read more...

Pemangkin Hizibku

  © Green islamic Template by islamic313.blogspot.com 2008