08 September 2011

PERUTUSAN SEMPENA AIDILFITRI 1432H & ULANGTAHUN KEMERDEKAAN KE-54

بسم الله الرحمن الرحيمالحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله واله وأصحابه
Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu.” (Surah Al Baqarah : 185)

AlhamduliLlah, sudah hampir genap sebulan kita menunaikan kewajipan berpuasa dan semakin hampirlah kita dengan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Mudah-mudahan segala amalan dan kebajikan yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini diterima dan diberkati-Nya. Sesungguhnya Ramadhan sudah pasti akan ‘meninggalkan’ kita tetapi rahmat dan keampunan Allah sentiasa terbuka kepada mereka yang mengkehendakinya. كن ربانيا ولاكن رمضانيا – Jadilah kita hamba Allah dan usahlah kita menjadi ‘hamba Ramadhan’. Moga-moga kita terus beristiqamah membaca al-Quran, mentadabbur, melakukan kebajikan dan amalan-amalan sunat yang lain.

Rasulullah s.a.w ketika menyambut Syawal telah membacakan Surah Al-Qaf dalam raka’at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka’at kedua solat Aidilfitri baginda. Adalah satu kehairanan bagi para sahabat baginda dan kita hari ini kerana kedua-dua ayat yang menceritakan tentang peristiwa hari kiamat itu dibacakan pada hari paling gembira buat umat Islam.

Namun disana Rasulullah mahu supaya kita tidak lupa diri dan mengingati bahawa Hari Raya adalah hari yang paling hampir untuk kita menemui Allah. Keriuhan hari raya seharusnya digamatkan dengan takbir dan laungan selawat serta memperatkan ikatan ukhuwah antara semua insan khususnya kalangan umat Islam.

Hari Raya Aidilfitri tahun ini dijangka serentak dengan Ulangtahun Kemerdekaan negara kita yang ke-54. Oleh itu, sewajarnya bagi diri para naqib/naqibat sekalian memahami erti kemerdekaan yang sebenarnya, bukan sahaja bebas dari belenggu penjajahan namun lebih daripada itu. Semangat patriotisme sebagai warganegara perlu diterapkan agar kita terus berusaha memakmurkan negara yang kita cintai ini.

Majlis Tarbiyah Nuqaba (MTEN) berharap agar kedua-dua peristiwa besar tersebut menjadi batu loncatan untuk para nuqaba memahami tuntutan sebenar Islam yang bukan sahaja sebagai agama untuk beraya, tetapi ianya harus dilihat dari seluruh ruang lingkup kehidupan. Usaha merencana islah menerusi wadah usrah perlu kita teruskan kerana kita adalah penyambung risalah nubuwwah yang diwarisi daripada Nabi Muhammad s.a.w.

Barisan kepimpinan MTEN 2011/2012 mengucapkan Selamat Hari Raya dan Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan ke-54 buat seluruh naqib/naqibat dan pelajar IPG Kampus Pendidikan Islam seluruhannya. Semoga Hari Raya kali ini memberikan makna dan perubahan besar dalam hidup kita dengan Allah sentiasa di dalam hati.

"FIKRAH MEMBINA SAHSIAH MURABBI"
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Muhammad Izzul Islam bin Hasni
Presiden
Majlis Tarbiyah Nuqaba

Read more...

06 Julai 2011

Antara Budak Maktab, Guru Pelatih dan Mahasiswa IPG


OLEH : Muna 'Izzah (http://budakpicisan.blogspot.com)


بسم الله الرحمن الرحيم Salam Perjuangan

Kecewa hati ini bila forum dakwah itu habis begitu sahaja tanpa sempat mengutarakan soalan yang tak berhenti berlegar di minda ini kepada ahli panel (Ukht Dini & Akh Zakir). Niat hati mahu bertanya secara personal tetapi terlihat kelibat mereka seakan-akan sibuk, niat itu terkubur bergitu sahaja dengan persoalan masih ligat di minda.

Saya sangat tertarik dengan kata-kata Ukht Dini yang menyeru setiap da'ie itu untuk lebih bersifat positif dalam semua perkara. Sungguh, kata-katanya tempoh hari banyak membuka minda saya yang sebelum ini kerap kali berfikir terlalu jauh ke hadapan sehinggakan mengaburi benda yang terbentang di depan mata. Untuk menjadi positif itu tidak mudah tapi tidak mustahil untuk ditanam dalam minda dan jiwa satu satu manusia itu. Antara petua yang saya dapat untuk sentiasa berfikiran positif adalah dengan senyum. Mudah. Sekadar dengan satu senyuman, kita boleh mengubah suasana di sekeliling kita.

Mahasiswa IPG, Guru Pelatih dan Budak Maktab.
Bunyi seakan-akan tiada beza bukan. Hakikatnya jurang perbezaan antara ketiga-tiga 'golongan' itu adalah besar sekali.

Budak Maktab
Pergi ke kelas jika ada lecturer. Pulang ke hostel/rumah bila bosan di kelas. Tidur sampai lajak zohor. Petang-petang turun main bola/tenis/jogging sampai maghrib bila agak-agak dekat nak azan baru balik sambil gelak kuat-kuat. Lepas lepak-lepak makan malam, main CS/PES/FIFA. Agak-agak wireless kuat, main friendster 2-3 jam tak pun gelak sorang-sorang main kuiz bodo Facebook. Pukul 2 pagi tidur. Esoknya rutin yang sama sampai cukup 5 tahun setengah. Bila elaun lambat masuk dia paling kalut naik turun HEP sibuk dok tanya JPP bila duit nak masuk. Time exam mesej budak maktab lain mintak soalan spot. Bila tanya, tak payah susah-susah, pointer tinggi rendah keluar gaji sama semua.
Anda Budak Maktab?

Guru Pelatih.
Bangun pagi-pagi 7.30 dah siap berpeluh kat padang takut kena aimbush dengan lecturer. Bila lecturer bagi tugasan, terus pergi library cari buku. Cekap. Bila mesyuarat BIG dia paling kalut atur kerja untuk orang. Sungguh berwibawa. Balik dari kelas sharp 1.15 ptg. Petang-petang siapkan kerja mana yang tak siap. Tak bertangguh. Malam-malam pergi surau bila rajin. Ye la solat kat mana pun sama yang penting ikhlas kan. Bila exam buka buku sikit-sikit buat revision ikut silibus sambil dipandu oleh soalan spot yang diberi budak maktab tadi. Bila time exam baru tergerak bangun tengah malam, sayangnya bukan untuk bertahajud tapi untuk cover tajuk mana yang tak baca lagi. Dan rutinnya akan sama untuk 5 tahun setengah mendatang. Betul-betul berlatih jadi guru - ikut jadual yang dah ditetapkan.
Anda Guru Pelatih?

Mahasiswa IPG
Sama seperti Budak Maktab dan Guru Pelatih. Cuma Mahasiswa IPG ini tidak hidup dalam tempurung jadian. Hidupnya masih diatur tetapi bukan mindanya. Jasadnya masih mengikut kitaran bodoh pelajar IPG tetapi bukan jiwanya. Langkahnya masih terikat dengan peraturan tetapi bukan akalnya. Mulutnya dikunci tetapi bukan hatinya. Hidupnya bermatlamat, bukan kosong semata-mata bertatih menjadi guru. Dan matlamatnya tinggi sebagai revolusioner masyarakat, sebagai murabbi agung, sebagai pencetus kebangkitan ummah, sebagai penggerak dakwah yang hidup - bukan robot keluaran IPG!Apakah anda Mahasiswa IPG?Pilihan di tangan anda. Sama ada anda memilih untuk menjadi GURU YANG UNGGUL atau GURU YANG TUNGGUL.Bangkitlah wahai budak maktab, wahai guru pelatih. Ayuh bersama kukuhkan soff, kuatkan benteng iman, tegakkan panji Islam. Tawan kembali minda kita yang telah disekularkan!

KITA MAHASISWA ISLAM IPG SUPER POWER!!


Read more...

18 Mei 2011

BUAT YANG BAKAL BERGELAR GURU


SABAN tahun, tanggal 16 Mei merupakan tarikh istimewa yang cukup bermakna bagi insan bergelar ‘guru’. Hampir 360,000 golongan pendidik seluruh negara diraikan sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini. Tarikh 16 Mei dipilih kerana pada tarikh yang sama dalam tahun yang sama 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council ) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report Of The Education Commitee) sebagai dasar pelajaran negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak, telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu (16 Mei 1956).

Kemeriahan Hari Guru ini turut dirasai oleh bakal-bakal guru terutamanya di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara. Ucapan-ucapan ‘Selamat Hari Guru’ dalam bentuk sistem pesanan ringkas (SMS) dikirim melangkaui daerah dan sempadan negeri walaupun pada asasnya kita masih belum menamatkan pengajian apatah lagi disahkan jawatan. Bagi guru-guru di sekolah pastinya banyak menerima hadiah-hadiah daripada anak murid sebagai salah satu tanda penghargaan kepada mereka.

Pada masa yang sama, kita seharusnya menyedari hakikat bahawa kitalah generasi pendidik yang bakal merencanakan matlamat pendidikan itu sendiri iaitu untuk melahirkan insan yang baik (to produce a good man) seperti yang diungkapkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism, “The aim of education in Islam is therefore to produce a goodman”. Guru juga dianggap sebagai seorang ‘jurutera manusia’(the engineer of human beings) yang mampu menjadi agen perubahan manusia dan seterusnya menjanakan perubahan kepada masyarakat dan negara ke arah yang lebih baik.

Tidak cukup dengan itu, para bakal pendidik khususnya perlu mempersiapkan diri dengan rapi bagi mengilhamkan kejayaan dan mencipta masa depan negara dan agama yang cemerlang. Persiapan yang utama perlu ada kepada guru ialah bersedia untuk menambah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang bagi mengatur langkah bagi membangunkan akal, hati, jasmani, emosi dan sosial yang sememangnya sudah tercipta dalam diri setiap manusia.


Seorang pendidik juga seharusnya membersihkan jiwanya terlebih dahulu sebelum membimbing manusia kepada Tuhannya. Menerusi pembersihan jiwa, akan lahirlah pendidik-pendidik yang berakhlak dengan akhlak Islam yang unggul dan menjadi penyuluh kepada murid-murid untuk dididik dan dibimbing oleh murabbi. Usahlah kita menjadi umpama ‘ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus’ sekiranya kita masih belum mampu berjalan dengan betul.

Sesungguhnya, cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar memerlukan kesediaan fikrah yang jelas, pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang tinggi di kalangan pendidik. Di tangan kitalah, tergalas amanah dan tanggungjawab untuk mendidik pelajar yang suatu ketika nanti akan berada di gelanggang masyarakat. Salam muhasabah.

FIKRAH MEMBINA SAHSIAH MURABBI



Read more...

Pemangkin Hizibku

  © Green islamic Template by islamic313.blogspot.com 2008