07 Oktober 2011

Ibrah Merdeka Buat Pendidik





“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah S.W.T akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.”(2:190)

Satu hakikat yang mungkin dilupai atau mungkin sengaja disembunyikan oleh pihak tertentu ialah kebangkitan menentang penjajah telah bermula pada hari pertama kejatuhan Melaka pada tahun 1511. Jurang hampir 446 tahun kita dijajah sebelum mencapai kemerdekaan sudah tentunya begitu ramai pejuang yang lahir, bangkit dan syahid dengan matlamat untuk meruntuhkan tradisi penjajahan serta mendaulatkan Islam.

Begitu juga dengan gerakan menentang penjajah sebenarnya dipengaruhi oleh sentimen Othmaniyah yang meresap masuk ke Tanah Melayu bertitik tolak daripada hubungan Sheikh Ahmad al-Fathani yang menjadi perantara Tanah Melayu dan kerajaan Islam Turki Uthmaniah. Hubungan ini membuktikan bahawa wujudnya sistem satu khalifah (Turki Othmaniyah) yang menaungi semua kerajaan kecil di bawahnya termasuk Tanah Melayu. Bahkan kerajaan Islam di Tanah Melayu terlebih dahulu tumbang (1511) ke tangan penjajah berbanding kerajaan Turki Othmaniyah pada 1924.

Sheikh Ahmad al-Fathani, Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Hj. Hassan bin Munas (Tok Janggut), Tokku Paloh, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Dr. Burhanudin Hemly serta ramai lagi merupakan adalah merupakan antara pejuang kemerdekaan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa ramai antara tokoh tersebut terdiri daripada golongan yang pernah terlibat dalam profesion pendidikan pada ketika itu. Antaranya :

§  Sheikh Ahmad al-Fathani berjaya melatih murid-muridnya mengikut kebolehan masing-masing sehinggalah menjadi tokoh yang terkenal antaranya Tok Kenali, Tok Janggut dan lain-lain. Terdapat juga murid beliau yang dilatih dalam bidang siasah, penerbitan dan pentashihan kitab.
§   
§  Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Limbong merupakan tenaga pengajar di suraunya di Jonggok Tong, Beladau, Kuala Terengganu dan di surau Sayyid Saggaf.
§   
§  Syeikh Abu Bakar berada di Kuala Kangsar selama tiga tahun (1931-1933), dan terlibat secara langsung sebagai guru pelatih dengan diberi gaji RM30.00 sebulan dan akhirnya pulang dan mengasaskan Ma’ahad Ehya al-Syarif di Gunung Semanggol.
§   
§  Dr. Burhanuddin al-Helmy pernah bertugas sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned, Singapura.
§   
Tokoh-tokoh tersebut lahir daripada kefahaman dan kesedaran untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah melalui pendekatan masing-masing. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa golongan pendidik dahulu merupakan antara penggerak utama kemerdekaan negara. Persoalannya, sejauh manakah kefahaman dan kesedaran kita untuk membebaskan generasi anak bangsa kita pada hari ini yang tidak dapat dipisahkan dengan gejala keruntuhan akhlak. Rujuk, Salah Laku Pelajar : Salah Siapa? (http://gegar.wordpress.com/2009/06/27/38/

Tidak lain dan tidak bukan mestilah bermula daripada diri kita sendiri. Sejauh manakah persediaan kita untuk menjadi seorang murabbi dan muaddib yang bakal melahirkan modal insan yang benar-benar berguna kepada agama, bangsa dan negara? Ataupun hanya ingin menjadi guru yang hanya menunggu gaji tiap-tiap bulan tanpa ada gagasan untuk melahirkan anak bangsa yang benar-benar berguna.

“FIKRAH MEMBINA SAHSIAH MURABBI”

"Golongan guru-guru sekolah Melayu yang rajin membaca, yang sedar dirinya terhadap kanak-kanak yang diajarnya sekarang akan jadi pemuda esok hari-pemuda harapan bangsa, bukan guru-guru menunggu gaji dari sebulan ke sebulan.

Guru-guru insaf itu suka memperhatikan surat-surat khabar dalam dan luar negeri terutamanya buku buku pergerakan saudara sebakanya yang sedang membina bangsa dan negara baharu telah dapat pemandangan dan melambai jiwa mereka untuk bertindak dan mempersiapkan langkah terhadap kebangsaan." - Dr Burhanuddin al-Helmy


Muhammad Izzul Islam bin Hasni
Tahun 3
Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Pendidikan Islam)
IPG Kampus Pendidikan Islam

Read more...

08 September 2011

PERUTUSAN SEMPENA AIDILFITRI 1432H & ULANGTAHUN KEMERDEKAAN KE-54

بسم الله الرحمن الرحيمالحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله واله وأصحابه
Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu.” (Surah Al Baqarah : 185)

AlhamduliLlah, sudah hampir genap sebulan kita menunaikan kewajipan berpuasa dan semakin hampirlah kita dengan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Mudah-mudahan segala amalan dan kebajikan yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini diterima dan diberkati-Nya. Sesungguhnya Ramadhan sudah pasti akan ‘meninggalkan’ kita tetapi rahmat dan keampunan Allah sentiasa terbuka kepada mereka yang mengkehendakinya. كن ربانيا ولاكن رمضانيا – Jadilah kita hamba Allah dan usahlah kita menjadi ‘hamba Ramadhan’. Moga-moga kita terus beristiqamah membaca al-Quran, mentadabbur, melakukan kebajikan dan amalan-amalan sunat yang lain.

Rasulullah s.a.w ketika menyambut Syawal telah membacakan Surah Al-Qaf dalam raka’at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka’at kedua solat Aidilfitri baginda. Adalah satu kehairanan bagi para sahabat baginda dan kita hari ini kerana kedua-dua ayat yang menceritakan tentang peristiwa hari kiamat itu dibacakan pada hari paling gembira buat umat Islam.

Namun disana Rasulullah mahu supaya kita tidak lupa diri dan mengingati bahawa Hari Raya adalah hari yang paling hampir untuk kita menemui Allah. Keriuhan hari raya seharusnya digamatkan dengan takbir dan laungan selawat serta memperatkan ikatan ukhuwah antara semua insan khususnya kalangan umat Islam.

Hari Raya Aidilfitri tahun ini dijangka serentak dengan Ulangtahun Kemerdekaan negara kita yang ke-54. Oleh itu, sewajarnya bagi diri para naqib/naqibat sekalian memahami erti kemerdekaan yang sebenarnya, bukan sahaja bebas dari belenggu penjajahan namun lebih daripada itu. Semangat patriotisme sebagai warganegara perlu diterapkan agar kita terus berusaha memakmurkan negara yang kita cintai ini.

Majlis Tarbiyah Nuqaba (MTEN) berharap agar kedua-dua peristiwa besar tersebut menjadi batu loncatan untuk para nuqaba memahami tuntutan sebenar Islam yang bukan sahaja sebagai agama untuk beraya, tetapi ianya harus dilihat dari seluruh ruang lingkup kehidupan. Usaha merencana islah menerusi wadah usrah perlu kita teruskan kerana kita adalah penyambung risalah nubuwwah yang diwarisi daripada Nabi Muhammad s.a.w.

Barisan kepimpinan MTEN 2011/2012 mengucapkan Selamat Hari Raya dan Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan ke-54 buat seluruh naqib/naqibat dan pelajar IPG Kampus Pendidikan Islam seluruhannya. Semoga Hari Raya kali ini memberikan makna dan perubahan besar dalam hidup kita dengan Allah sentiasa di dalam hati.

"FIKRAH MEMBINA SAHSIAH MURABBI"
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Muhammad Izzul Islam bin Hasni
Presiden
Majlis Tarbiyah Nuqaba

Read more...

06 Julai 2011

Antara Budak Maktab, Guru Pelatih dan Mahasiswa IPG


OLEH : Muna 'Izzah (http://budakpicisan.blogspot.com)


بسم الله الرحمن الرحيم Salam Perjuangan

Kecewa hati ini bila forum dakwah itu habis begitu sahaja tanpa sempat mengutarakan soalan yang tak berhenti berlegar di minda ini kepada ahli panel (Ukht Dini & Akh Zakir). Niat hati mahu bertanya secara personal tetapi terlihat kelibat mereka seakan-akan sibuk, niat itu terkubur bergitu sahaja dengan persoalan masih ligat di minda.

Saya sangat tertarik dengan kata-kata Ukht Dini yang menyeru setiap da'ie itu untuk lebih bersifat positif dalam semua perkara. Sungguh, kata-katanya tempoh hari banyak membuka minda saya yang sebelum ini kerap kali berfikir terlalu jauh ke hadapan sehinggakan mengaburi benda yang terbentang di depan mata. Untuk menjadi positif itu tidak mudah tapi tidak mustahil untuk ditanam dalam minda dan jiwa satu satu manusia itu. Antara petua yang saya dapat untuk sentiasa berfikiran positif adalah dengan senyum. Mudah. Sekadar dengan satu senyuman, kita boleh mengubah suasana di sekeliling kita.

Mahasiswa IPG, Guru Pelatih dan Budak Maktab.
Bunyi seakan-akan tiada beza bukan. Hakikatnya jurang perbezaan antara ketiga-tiga 'golongan' itu adalah besar sekali.

Budak Maktab
Pergi ke kelas jika ada lecturer. Pulang ke hostel/rumah bila bosan di kelas. Tidur sampai lajak zohor. Petang-petang turun main bola/tenis/jogging sampai maghrib bila agak-agak dekat nak azan baru balik sambil gelak kuat-kuat. Lepas lepak-lepak makan malam, main CS/PES/FIFA. Agak-agak wireless kuat, main friendster 2-3 jam tak pun gelak sorang-sorang main kuiz bodo Facebook. Pukul 2 pagi tidur. Esoknya rutin yang sama sampai cukup 5 tahun setengah. Bila elaun lambat masuk dia paling kalut naik turun HEP sibuk dok tanya JPP bila duit nak masuk. Time exam mesej budak maktab lain mintak soalan spot. Bila tanya, tak payah susah-susah, pointer tinggi rendah keluar gaji sama semua.
Anda Budak Maktab?

Guru Pelatih.
Bangun pagi-pagi 7.30 dah siap berpeluh kat padang takut kena aimbush dengan lecturer. Bila lecturer bagi tugasan, terus pergi library cari buku. Cekap. Bila mesyuarat BIG dia paling kalut atur kerja untuk orang. Sungguh berwibawa. Balik dari kelas sharp 1.15 ptg. Petang-petang siapkan kerja mana yang tak siap. Tak bertangguh. Malam-malam pergi surau bila rajin. Ye la solat kat mana pun sama yang penting ikhlas kan. Bila exam buka buku sikit-sikit buat revision ikut silibus sambil dipandu oleh soalan spot yang diberi budak maktab tadi. Bila time exam baru tergerak bangun tengah malam, sayangnya bukan untuk bertahajud tapi untuk cover tajuk mana yang tak baca lagi. Dan rutinnya akan sama untuk 5 tahun setengah mendatang. Betul-betul berlatih jadi guru - ikut jadual yang dah ditetapkan.
Anda Guru Pelatih?

Mahasiswa IPG
Sama seperti Budak Maktab dan Guru Pelatih. Cuma Mahasiswa IPG ini tidak hidup dalam tempurung jadian. Hidupnya masih diatur tetapi bukan mindanya. Jasadnya masih mengikut kitaran bodoh pelajar IPG tetapi bukan jiwanya. Langkahnya masih terikat dengan peraturan tetapi bukan akalnya. Mulutnya dikunci tetapi bukan hatinya. Hidupnya bermatlamat, bukan kosong semata-mata bertatih menjadi guru. Dan matlamatnya tinggi sebagai revolusioner masyarakat, sebagai murabbi agung, sebagai pencetus kebangkitan ummah, sebagai penggerak dakwah yang hidup - bukan robot keluaran IPG!Apakah anda Mahasiswa IPG?Pilihan di tangan anda. Sama ada anda memilih untuk menjadi GURU YANG UNGGUL atau GURU YANG TUNGGUL.Bangkitlah wahai budak maktab, wahai guru pelatih. Ayuh bersama kukuhkan soff, kuatkan benteng iman, tegakkan panji Islam. Tawan kembali minda kita yang telah disekularkan!

KITA MAHASISWA ISLAM IPG SUPER POWER!!


Read more...

Pemangkin Hizibku

  © Green islamic Template by islamic313.blogspot.com 2008