01 November 2009

Akademi Dakwah 2009



Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API) dengan kerjasama Persatuan Ulama’ Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) akan menganjurkan program realiti sebenar dakwah di lapangan masyarakat pada 30 November 2009 hingga 13 Disember 2009. Selama 2 minggu ini, para peserta akan didedahkan tentang selok-belok dakwah di lapangan dengan menampilkan konsep dakwah yang lebih meluas serta kritikal.

Diberi nama Akademi Dakwah, program ini terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti dakwah di lapangan secara terancang dan terfokus. Para peserta haruslah berumur di antara 19 hingga 30 tahun sahaja dan yuran yang dikenakan hanyalah RM70.00 sahaja.

Program ini akan diadakan di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Bertemakan serangan pemikiran, kepenggunaan, alam sekitar, gejala sosial, masyarakat minoriti dan dakwah dalam penulisan, program ini akan memberi pengalaman baru kepada para peserta dalam menghayati erti dakwah melalui pengisian oleh pakar-pakar dalam bidang dakwah yang disebutkan tadi.

Berikut merupakan sedikit penerangan tentang tema-tema dakwah dalam AD09:

Serangan Pemikiran

Melibatkan dakwah dalam mengislahkan kembali pemikiran masyarakat di Malaysia yang diserang secara halus terutamanya oleh dakyah sesat fahaman Islam Liberal. Para peserta akan didedahkan secara ekslusif tentang fahaman sesat Islam Liberal dan konsep-konsep pemikiran lain yang ternyata bertentangan dengan Islam. Pemikiran-pemikiran sebegini melambak di dalam kosmo hidup masyarakat sehingga ḥaqq (benar) dan baṭil (palsu) menjadi kabur di kacamata masyarakat Islam khususnya di Malaysia.

Kepenggunaan

Malaysia merupakan antara negara yang tertinggi jumlah pembelian dan penggunaan barangan komersil dalam kategori negara membangun. Hal ini tidak dapat tidak akan mendedahkan pengguna Muslim terutamanya kepada barang-barangan yang tidak halal serta memudharatkan tubuh badan. Di samping itu juga, pelaburan dan pengaliran wang yang tidak selari dengan Syari‘ah menyebabkan keberkatan dalam kehidupan seharian masyarakat Islam di Malaysia hilang secara tidak sedar. Pendedahan kepada dakwah kepengunaan akan memberi input yang sangat kritikal dan berguna kepada para peserta.

Alam Sekitar

Alam sekitar merupakan ciptaan Allah SWT dan amanah kepada manusia di dunia untuk memelihara dan mengurus sumber bumi secara lestari berdasarkan prinsip-prinsip al-Qur’ān dan al-Sunnah. Kepincangan ma‘na pembangunan, kerakusan nafsu pemaju, kehilangan sifat prihatin masyarakat, kematian rasa kehambaan kepada Tuhan, antara faktor yang memungkinkan masyarakat tidak endah kerosakan alam sekitar yang berlaku di sekeliling mereka saban hari. Di dalam AD09, para peserta akan didedahkan tentang dakwah alam sekitar yang merupakan keperluan terpenting demi menyelamatkan kelestarian pengurusan pembangunan berasaskan konsep hamba dan khalifah.

Gejala Sosial

Jiwa remaja yang sering mencuba segala keseronokan menyebabkan berlakunya kepincangan akhlak yang mengheret mereka ke kancah kemaksiatan yang serius. Lambakan isu-isu semasa yang berkaitan dengan gejala sosial memberikan satu tamparan hebat kepada kesemua gerakan Islam di Malaysia dalam mempertahankan ‘Aqidah dan Syari‘ah masyarakat yang kian terhakis. Pendedahan langsung di lapangan masyarakat akan membuka mata para peserta dalam memahami dan menghayati punca utama kesuburan gejala sosial di Malaysia dan langkah terbaik dalam mempertahankan akhlak dalam diri setiap ahli masyarakat.

Masyarakat Minoriti

Masyarakat minoriti di Malaysia terutama masyarakat orang asli kurang dititikberatkan oleh gerakan dakwah akibat kos yang terlalu tinggi dan kemahiran dakwah yang konsisten di dalam situasi yang sangat mencabar. Pendakian bukit serta halangan lain antara pengalaman baru yang akan dirasai oleh para peserta dalam merealisasikan dakwah kepada masyarakat orang asli yang rata-ratanya adalah bukan Islam. Cabaran dan ujian yang bakal dihadapi oleh para peserta akan memberikan satu impak dan semangat dakwah yang kental dalam menyampaikan risalah kebenaran – warisan para Nabi dan Sahabat.

Dakwah Dalam Penulisan

Penulisan merupakan elemen dakwah yang paling penting. Penulisan akan kekal walaupun si penulisnya telah tiada. Keberkesanan penulisan dakwah dapat memberikan ruang dakwah yang optimum di samping penyebaran pengisian dakwah yang lebih meluas. Para peserta akan diajar untuk menghasilkan penulis yang lebih sistematik dan berkesan. Malah, para peserta akan diberi peluang untuk mempersembahkan penulisan masing-masing di dalam beberapa ruang penulisan semasa yang terpilih.

Kepada sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi saudari Azwaahidah (019-5989382 / paspertama_86@yahoo.com.my) atau saudara Amir (013-7069509 / api_penang@yahoo.com.my) dengan segera. Tempat adalah terhad kepada 30 peserta terawal.
Sebarkan lampiran yang disertakan bersama-sama emel ini. Semoga dipermudahkanNya. J

Tentatif Program Madrasah Aktivis Umat (MAD’U) @ Akademi Dakwah 2009

Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API)

Tarikh

Lapangan Aktivisma

Tajuk Pengisian / Praktikal

Tempat

Penceramah / Fasilitator

30 Dis 09

Pengenalan dan Taaruf

- Pandangan Alam Tentang Perspektif Islam

- Pengantar Gerakan Islam

Sg. Dua, Pulau Pinang

- Ust Nizam Mahshar

-Ust Hafiz Nordin

1 Dis 09

Serangan Pemikiran Islam Liberal & Isu-isu Syariah

- Pengenalan Pemikiran-pemikiran Islam

- Islam & Pemikiran (LDK)

- Apa itu Liberalisma?

- Peranan pemuda mendepani dakyah-dakyah sesat

Sg. Dua, Pulau Pinang

-Ust Nizam Mahshar

-Ust Hafiz Nordin

-Izzat Anwari

-Dr Ali

2 Dis 09

Sistem Pendidikan Islam

- Falsafah Disebalik Sistem Pendidikan Islam

- Menyelongkar Isu-isu Pendidikan Semasa

- Kajian Kes (LDK)

- Halatuju Sistem Pendidikan Negara

Sg. Dua Pulau Pinang

- Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

- Dr Fadhullah Jamel

- Ust Kamaruddin Kassim

- Ustzh Mardhiah Zakaria

- Cikgu Sakinah Abd Hamid

- Cikgu Mohd Zaidi

3 Dis 09

Konflik Umat Islam Global

- Pembahagian Isu Umat Islam Antarabangsa

- Merungkai Permasalahan Umat Islam Sedunia, Peranan Individu Muslim

- Kajian Kes: Memahami Realiti Sebenar Krisis Selatan Thai

- Plan Tindakan Krisis Selatan Thai (LDK)

Sg. Dua Pulau Pinang

- Mohideen Abd Kader

- Fawaz Abd Aziz

- Dr Kamarulzaman

- Dr Roslan Hashim

- Mohd Saiful Affindi

- Tetamu aktivis DeepPeace, HAP, dan SFST dari Patani.

4 Dis 09

Sosio Ekonomi Umat Islam

- Pengenalan Sistem Ekonomi Islam, Perbezaannya Dengan Kapitalisma dan Sosialisma

- Kajian Kes Isu Perkampungan Melayu dan Tanah Wakaf: Turun Lapangan ke Tg. Tokong & Kg. Makam.

Sg. Dua, Tg. Tokong, Kg. Makam, Pulau Pinang

- Norhadi Hamsar

- Pak Usop (PAJIM), Cg Saleh, Shahril, Hafiz

5 – 6 Dis 09

Masyarakat Orang Asli dan Anak Yatim

- Permasalahan dan Aktiviti Dakwah Orang Asli di Malaysia

- Permasalahan Anak Yatim Di Malaysia

- Turun Lapangan ke Perkampungan Orang Asli

Kuala Mu Perak

- Salman Siddiqi

- Mohd Shahrizal

- Izzat Anwari Hasni

7 – 9 Dis 09

Alam Sekitar dan Kepenggunaan

- Isu Alam Sekitar Di Malaysia

- Erti Pembangunan Sebenar

- Islam Dan Ekologi

- Kajian Kes: Pembangunan Vs Kuari Jerai

- Bagaimana Mengadu Dan Mendapatkan Hasil

- Story Of Stuff

- Turun Lapangan: Soal selidik Isu Alam Sekitar dan Strategi Tupperware.

Singkir Kedah

- Ust Nizam Mahshar

- Fatin Kamaruddin

- Prof. Talhah

- Shamsul Ery

- Mohd Ridzuan

10 – 11 Dis 09

Permasalahan Sosial

- Situasi Permasalahan Sosial Negara

- Pengenalan Dakwah Lapangan Dan Pemetaan Komuniti

- Strategi Hemoi dan Kaunseling Lapangan

- Turun Lapangan: Isu Gam, Arak, Pusat Hiburan, Mat Rempit, Dadah dan Pergaulan Bebas.

- Membuat Laporan dan Bantahan

Sg Petani Kedah

- Ust Abdullah

- Asti Toba

- Noor Azam

- Mohd Farid

- Abrar

- Kak Long Siti

- Nurfitri Amir

- Ust Ali

12 Dis 09

Penulisan

- Membina Asas Penulisan

- Bagaimana Menganalisa Isu

- Bagaimana Menulis Artikel?

- Bagaimana Menulis Di Akhbar?

Yan Kedah

- Wan Azalina

- Ust Azizi

- Mariani

- Haris Zalkapli

13 Dis 09

Resolusi dan Perancangan Gerak Kerja

- Satu Dunia Baru

- Bergerak Dalam Satu Angkatan

- Strategi Masa Depan

Yan Kedah

- Izzat Anwari

- Norhadi Hamsar

- Mohd Saiful Affindi

- Fatin Safiah

- Azwahida Badaruddin

- Mohd Zaidi



--
`Izzat Anwari bin Hasni,
Ketua Usrah Pemikiran,
Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API),
Persatuan Ulama' Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP),
Pulau Pinang.
Blog: http://DarahMerdeka.wordpress.com

Read more...

01 Oktober 2009

Sepahit Madu


darahmerdeka.wordpress.com


Awak sudi jadi isteri kedua saya?”

tanya Fikri tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!”

pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…”

Fatimah mula sebak.

Tak. Maksud saya…”

Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!”

potong Fatimah dengan kasar.

Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?”

suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu ‘Fatimah’ di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.

Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

Ada hikmah,”

bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.

Awak sudi jadi isteri kedua saya?”

tanya Fikri tanpa segan silu.

Sudi,”

jawab Nusaibah ringkas.

Er, betul ke ni?”

tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

Kenapa saya?”

tanya Fikri ingin tahu.

Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,”

jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

Baiklah,”

jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

Abang, saya nak tanya boleh?”

sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

Ye sayang?”

jawab Fikri sambil memandu.

Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,”

luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,”

Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

Yeke? Dia datang program tu rupanya,”

jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

Kita dah sampai,”

Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya.

Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

Itu isteri pertama abang,”

Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.

Mana bang?”

Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.

Tak nampak pun,”

Nusaibah meninggikan sedikit tumit kakinya.

Siapa nama isteri pertama abang?”

Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

Perjuangan,”

jawab Fikri.

***

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”

[QS al-Taubah 9:24]

Read more...

14 September 2009

Wahai Jeff Ooi...


Oleh Darah Merdeka

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, pelbagai persediaan dibuat oleh segenap Muslim di seluruh dunia bagi mendapatkan keberkatan dan rahmat yang dijanjikan oleh Allah SWT. Namun, di dalam bulan yang mulia ini, masih ada individu-individu yang kurang senang dengan agama Islam sehingga sanggup menghina Syari‘ah Islam secara terbuka di dalam blognya. Individu tersebut tidak lain tidak bukan ialah Jeff Ooi.

Forum Penyelarasan Umat (FORUM)

FORUM disertai oleh lebih 20 NGO Islam Pulau Pinang mendesak Jeff Ooi meminta maaf dan meletakkan jawatan beliau di dalam kerajaan negeri Pulau Pinang (baca). Ini berikutan penghinaan beliau terhadap Syari‘ah Islam dan mengaitkan Islam dengan ekstrimisme. Penghinaan ini timbul setelah perbalahan beliau dengan salah seorang Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, Mohd Razali Abdullah, merangkap ahli Jamaah Islah Malaysia (JIM), sehingga membawa kepada ketelanjuran Jeff Ooi mengaitkan agama Mohd Razali (baca: Islam) sebagai ekstrimisme.

Ini sepatutnya tidak berlaku pada seorang Ahli Parlimen yang menjadi Ketua Staf Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kesilapan yang dilakukan oleh Jeff Ooi merupakan kesilapan yang tidak patut ada pada mana-mana pemimpin di Negara ini. Jeff Ooi harus sedar bahawa dirinya adalah pemimpin, bukan lagi blogger yang boleh menulis sesuka hati sehingga menghina agama Islam. Penghinaan Jeff Ooi terhadap Syari‘ah Islam lahir daripada isi hati beliau sendiri. Ini adalah fitrah manusia yang sedang marah – kemarahan membawa kepada luahan isi hati yang terpendam sekian lama!

Penghinaan ini juga memperlihatkan kepada masyarakat bahawa Jeff Ooi terpengaruh dengan propaganda Barat yang melabelkan Islam sebagai terrorisme. Satu kesilapan yang teramat dangkal puncanya bilamana pemimpin Negara ini termakan penipuan yang terbesar yang dibuat oleh Barat selama ini.

Permohonan maaf secara terbuka serta perletakan jawatan Jeff Ooi dilihat sebagai jalan terbaik dalam menyelesaikan isu ini. Jeff Ooi yang menetap di Negara Islam sepatutnya dibuang negeri dan dilucutkan kerakyatan apabila menghina Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, namun atas keprihatinan FORUM, permohonan maaf dan perletakan jawatan beliau sudah memadai. Ini dapat dijadikan iktibar kepada mana-mana Ahli Parlimen atau individu lain yang keterlaluan menghina agama individu lain!

Jeff Ooi Hina Syari‘ah Islam!

Tengok bagaimana sikap Jeff Ooi dan The Star yang memutarbelitkan fakta. FORUM mendesak Jeff Ooi meminta maaf dan meletak jawatan kerana MENGHINA SYARI‘AH ISLAM, bukan menghina JIM! (baca) Kenyataan Jeff Ooi yang mengaitkan JIM dengan pengganas telah pun ditarik balik dan JIM Pusat menerima penarikan tersebut. Namun, pertikaian yang menjadi buah mulut masyarakat ialah perbalahan antara Jeff Ooi dan JIM, sedangkan isu yang sebenar ialah perbalahan antara Jeff Ooi dan masyarakat Islam seluruhnya!

Juga, di dalam Malaysiakini (baca), isu ini dilihat seolah-olah pergaduhan Jeff Ooi dan JIM, sedangkan tuntutan maaf serta perletakan jawatan yang didesak oleh FORUM adalah bersandarkan isu penghinaan Syari‘ah Islam oleh Jeff Ooi. Jeff Ooi harus meminta maaf kepada semua umat Islam secara terbuka dan meletakkan jawatan secara sukarela atau terpaksa untuk membuktikan bahawa beliau ikhlas dan sebagai pengajaran kepada individu lain terutamanya pemimpin yang bersikap kurang ajar terhadap agama individu lain!

Media sangat licik dalam memutarbelitkan fakta dan menyokong Jeff Ooi secara tidak langsung.

Jeff Ooi dan Yahudi Qainuqa’

Setelah pembukaan Kota Madinah oleh baginda RasuluLlah SAW, perjanjian antara umat Islam dan kaum Yahudi di Madinah dimeterai. Perjanjian ini dibuat bagi menjaga kesejahteraan masyarakat Madinah selama di bawah pemerintahan Islam. Namun, kaum Yahudi Qainuqa’ adalah yang pertama melanggari perjanjian tersebut.

Pada suatu hari, seorang wanita Islam sedang membeli di pasar kaum Yahudi di Madinah. Apabila wanita tersebut sedang memilih barangan untuk dibeli, seorang daripada kaum Yahudi Qainuqa’ mengganggu malah mempersendakan ‘aurat wanita tersebut. Sedang wanita Islam tadi duduk untuk memilih barangan, Yahudi tersebut mengikat kain bersama tudung wanita tersebut lalu terbukalah ‘aurat wanita Islam itu apabila dia berdiri. Maka bersoraklah Yahudi Qainuqa’ kegirangan setelah dapat melihat ‘aurat wanita Islam.

Kejadian ini disaksikan oleh seorang lelaki Islam yang sedang melalui kawasan tersebut. Dengan segera, lelaki Islam tadi menghunus pedang lalu membunuh Yahudi Qainuqa’ yang mempersendakan ‘aurat wanita Islam – yang merupakan Syari‘ah Islam. Kemudian, lelaki Islam tersebut dibunuh oleh kaum Yahudi Qainuqa’.

Selepas kisah ini diberitakan kepada Nabi SAW, dengan segera baginda melancarkan peperangan terhadap Yahudi Qainuqa’ untuk mengusir mereka keluar dari kota Madinah. Malah, kemarahan baginda ketika itu diceritakan oleh para Sahabat sebagai kemarahan yang tidak pernah dilihat ada pada diri RasuluLlah SAW oleh mereka selama ini. RasuluLlah SAW yang sangat penyabar ketika diri baginda dicaci dan dihina oleh orang lain sebelum ini dilihat tegas dan marah ketika Syari‘ah Islam dihina dan dipersenda sedemikian rupa.

Sedang RasuluLlah SAW dalam perjalanan untuk memerangi kaum Yahudi Qainuqa’, ketua kaum munafiq iaitu ‘AbduLlah bin Ubai menghalang RasuluLlah SAW dengan memegang tangan baginda seraya berkata:

Sesungguhnya mereka adalah Sahabat kita. Mereka menolong kita dalam peperangan. Sungguh, aku khuatir sekiranya masa diterbalikkan dan mereka pula yang memerangi kita”

RasuluLlah SAW berdiam diri dengan muka yang marah, baginda tidak mengendahkan saranan ‘AbduLlah bin Ubai, malah baginda tidak sama sekali menghina ‘AbduLlah bin Ubai yang ternyata munafiq. RasuluLlah SAW meminta ‘AbduLlah bin Ubai melepaskan tangan baginda untuk memerangi Yahudi Qainuqa’ habis-habisan, namun ternyata ‘AbduLlah bin Ubai berdegil mahu membela Yahudi Qainuqa’ yang menghina Syari‘ah Islam secara terang-terangan itu!

Peristiwa ini jika dihayati dan difahami oleh semua Muslim di seluruh dunia, maka tidak ada sesiapa yang berani menghina Syari‘ah Islam – dan tidak ada seorang Muslim pun yang berani menghalang Muslim yang lain untuk memerangi orang yang menghina Syari‘ah Islam!

Teori Kekuasaan Umno

Kosmo politik di negara ini berada di tahap yang cukup kritikal. Teori Kekuasaan Umno meresap ke seluruh jiwa masyarakat sehingga sesiapa sahaja yang membantah tindakan Pakatan Rakyat dianggap tali barut Umno. Saya ulangi – sesiapa sahaja yang membantah Pakatan Rakyat dianggap Umno.

Teori ini juga terjadi kepada kumpulan pembangkang sewaktu ketika dahulu apabila Umno berada di era kegemilangan sehingga memerintah Negara ini untuk sekian lamanya. Di waktu itu, Umno digambarkan sebagai kuasa mutlak pemerintahan sehingga sesiapa sahaja yang membantah Umno akan dilabel sebagai pembangkang. Saya ulangi – sesiapa sahaja yang membantah Umno dilabel pembangkang.

Teori ini hanya diimani oleh orang-orang yang benar-benar bodoh sahaja.

Jeff Ooi lebih biadab apabila memfitnah FORUM ditaja oleh Umno (baca). Kenyataan ini sengaja dibuat oleh Jeff Ooi bagi mengaburi mata Muslim di dalam Pakatan Rakyat dan sebagai ‘alasan budak-budak hingusan’ bagi mengelak beliau daripada meminta maaf kepada semua umat Islam dan meletak jawatan di dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

Malah, ada juga segelintir pihak Umno yang cuba ‘menunggang’ penentangan umat Islam terhadap Jeff Ooi dan DAP untuk menarik perhatian masyarakat bahawa merekalah yang selama ini membela Islam dengan tidak bersekongkol dengan DAP. Sikap sebegini senantiasa berlaku kepada mana-mana parti politik yang mempergunakan isu-isu semasa sebagai batu loncatan menunjukkan kegagalan pihak berlawanan yang memerintah negeri.

Politik akan terus dengan sikap politik mereka untuk meraih apa yang mereka hajati, walau dengan cara apa sekalipun. Namun, saya tidak menolak mana-mana Muslim yang benar-benar ikhlas dan mulai sedar bahawa Islam sedang diperkotak-katikkan di hadapan kita dengan wajah anti-Islam yang ‘tersenyum.’ Usaha mempertahankan Islam adalah tindakan bersama, niat yang berbeza dalam mempertahankan Islam adalah di dalam pengetahuan Allah SWT semata-mata.

Perlu diingat bahawa penentangan FORUM terhadap Jeff Ooi adalah disebabkan penghinaan beliau terhadap Syari‘ah Islam. FORUM yang bertindak sebagai badan bebas, diulangi – badan bebas – menjadi suara sebenar rakyat di Pulau Pinang yang beragama Islam dalam menyuarakan kebenaran. Kesempitan faham politik di negara ini menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada wakil rakyat mereka terutama Muslim dalam mempertahankan Islam secara menyeluruh.

Jeff Ooi Pengganas Agama

Jeff Ooi tidak sepatutnya menjadi ahli Parlimen. Beliau merupakan pengganas agama – menghina agama lain dan tidak mengakui kesilapan sambil memutar-belitkan fakta media lalu memfitnah FORUM ditaja oleh Umno!

Nah! Kesalahan Jeff Ooi yang berlapis-lapis ini membuka mata kita tentang siapa sebenarnya Jeff Ooi. Hanya Muslim yang masih ‘tidur’ dan enak ‘menjamu’ hidangan DAP sahaja yang benar-benar berada di dalam kesesatan yang nyata!

Ke Tepi!

Di luar sana masih ada umat Islam yang masih acuh tak acuh bermain isu penghinaan Syari‘ah Islam oleh Jeff Ooi. Dengan alasan da‘wah menuntut kesabaran, mereka menggadai Syari‘ah Islam dengan bersekongkol membela Jeff Ooi. Tetapi sewaktu Umno memerintah dahulu, manusia-manusia inilah yang bertegang urat leher mencaci Umno yang menjadikan rasuah sebagai punca rezeki – tiada pula alasan da‘wah menuntut kesabaran.

Bagi setiap Muslim yang benar-benar sayangkan Islam dan membantah tindakan Jeff Ooi menghina Syari‘ah Islam, sila turunkan tandatangan anda di sini. Digalakkan anda menyertakan sekali komen sebagai bukti anda benar-benar marah terhadap tindakan keterlaluan oleh Jeff Ooi.

Namun harus diingat, makian atau cacian tidak dibenarkan sama sekali. Marah harus mengikut Syari‘ah, bukan mengikut Syaitan.

Bagi setiap Muslim yang menentang FORUM dan menyokong Jeff Ooi, nasihat saya, ketepilah. Jangan sesekali menghalang kami – dan meletakkan diri kamu di tempat ‘Abdullah bin Ubai!

*Artikel ini adalah luahan saya sebagai salah seorang anggota di dalam FORUM dan bukanlah suara rasmi FORUM.

Read more...

Pemangkin Hizibku

  © Green islamic Template by islamic313.blogspot.com 2008