20 Oktober 2013

NIK MOHD MOHYIDDEEN: TOKOH REJUVINASI PENDIDIKAN ISLAM MODEN (Bhg. 1)

            Pendidikan Islam pasca kemerdekaan memerlukan rejuvinasi bagi meneruskan matlamat Pendidikan Islam yang bertujuan mengeluarkan manusia daripada kejahilan kepada cahaya keimanan. Antara cabaran pada ketika itu ialah untuk meletakkan sistem sekolah agama dalam sistem pendidikan kebangsaan sedia ada. Idea ini telah dizahirkan oleh seorang tokoh transformasi pendidikan Islam moden iaitu Nik Mohd Mohyiddeen bin Wan Musa, seorang pendidik dan negarawan yang kian dilupai namun namanya banyak diabadikan di bangunan sekolah dan institusi pendidikan berbanding di bibir para pendidik Muslim. Nama beliau disematkan antaranya di Dewan Besar Nik Mohyiddeen Musa, IPG Kampus Pendidikan Islam Bangi dan Pusat Sumber Nik Mohyiddeen Musa, Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Selangor.

            Beliau dilahirkan pada 23 Oktober 1923, hari Selasa, di Lorong Semian, Jalan Merbau, Kubang Pasu iaitu 20 kilometer dari Pusat Bandar Kota Bharu dan berdekatan dengan Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan. Anak bongsu daripada pasangan Wan Musa bin Abdul Samad dan Nik Zainab binti Nik Yahya ini menjadi harapan keluarga untuk menjadi seorang ulama terkemuka suatu ketika nanti. Berkat doa Wan Musa, lima orang anak lelakinya telah mengikuti jejak langkah beliau iaitu Nik Abdullah, Nik Muhammad, Nik Mahmud, Nik Salleh dan Nik Mohd Mohyiddeen. Namun begitu, kemesraan Nik Mohyiddeen bersama ayahnya tidak kekal lama kerana ketika beliau berusia enam belas tahun ayahnya telah meninggal dunia.

            Ayah beliau, Wan Musa bin Abdul Samad pernah menjawat jawatan sebagai Mufti Kelantan di bawah pemerintahan Sultan Muhammad ke-IV selama 7 tahun menggantikan Ustaz Wan Nik Daud dan Ustaz Haji Wan Ishak. Datuknya, Abdul Samad merupakan seorang ulama Kelantan yang masyhur dengan panggilan Tuan Tabal dan penyair Tariqah Ahmadiah pertama di Semenanjung Malaysia manakala neneknya iaitu Wan Som ialah daripada keturunan pembesar negeri Kelantan. Ikatan kekeluargaan daripada latar belakang ulama’ dan umara’ ini telah melahirkan tokoh-tokoh pembaharuan yang disegani oleh masyarakat.
            Nik Mohd Mohyiddeen mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Majlis Agama Islam di Bangunan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu yang terletak berdekatan dengan Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Sekolah ini memperkenalkan pelajaran sekular dan agama secara serentak dan sistem dualisme tersebut telah memberi satu pengalaman baru kepada Nik Mohd Mohyiddeen. Melalui pengalaman pendidikan dalam sistem pondok dan sistem persekolahan ini banyak mencetuskan idea pembaharuan kepada Nik Mohd Mohyiddeen dalam membangunkan ummah.

            Nik Mohd Mohyiddeen telah mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, iaitu anak perempuan kepada pembesar negeri Kelantan iaitu Che Zainab binti Datuk Muhammad Salleh ketika berusia 33 tahun. Setelah setahun menjalani kehidupan berkeluarga, mereka telah dikurniakan dengan cahaya mata pertama iaitu Nik Samihah. Sebagai seorang suri rumah tangga, Che Zainab banyak menumpukan perhatian kepada keluarga dan pendidikan anak-anak di rumah. Hasil perkongsian hidup selama dua puluh lima tahun mereka telah dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu Nik Samihah, Nik Sirajuddin, Nik Sihamuddin, Nik Silmi dan Nik Suwaida.

            Beliau memulakan profesionnya dalam bidang pendidikan ketika berusia 23 tahun dengan menubuhkan sebuah sekolah swasta iaitu Sekolah Islah (Madrasah Islah). Pada masa yang sama, beliau merupakan guru dan mudir sekolah tersebut. Madrasah ini kemudiannya mendapat sambutan yang ramai daripada anak-anak negeri Kelantan khususnya di Kota Bharu berpunca daripada kesedaran masyarakat tentang kepentingan mata pelajar sekular di samping mata pelajaran agama juga dititikberatkan.

            Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar dan setelah kembali ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Islam Malaya, Klang selama empat tahun. Pada tahun 1967, setelah Kolej Islam Malaya diambilalih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan ditukar taraf kepada sekolah menengah, Nik Mohd Mohyiddeen telah dilantik sebagai Pengetua Kolej Islam yang kini dikenali sebagai Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Beliau memegang jawatan tersebut selama lapan tahun iaitu bermula tahun 1967 hingga 1975 serta berjaya melahirkan ramai anak murid yang sanggup berbakti dan berjasa kepada kepada agama, bangsa dan negara.

            Pada tahun 1975 juga, beliau telah dilantik sebagai Pengarah Bahagian Pelajaran Ugama Kementerian Pelajaran yang kini dinamakan Bahagian Pendidikan Islam (BPI). Beliau telah diberikan portfolio untuk mengurus pendidikan Islam di sekolah-sekolah rendah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia ketika itu. Antara cabaran besar yang dihadapi oleh beliau ialah pengambilalihan Sekolah Agama Rakyat (SAR) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dari kerajaan-kerajaan negeri dan juga individu tertentu. Walau bagaimanapun beliau tidak sempat untuk melihat perlaksanaan pengambilalihan SAR ketika itu kerana telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1981.

            Ketokohan dan pengalaman yang ada pada diri beliau ini telah mendorong pihak kerajaan untuk menawarkannya jawatan mufti Wilayah Persekutuan yang pertama. Namun begitu, tawaran tersebut telah ditolak oleh Nik Mohd Mohyiddeen kerana beliau berpendapat perkara yang lebih menjadi keutamaan baginya ialah mempertingkatkan kefahaman generasi muda terhadap Islam melalui sistem pendidikan Islam di sekolah-sekolah agama seluruh negara.

            Beliau juga merupakan perintis ke arah penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) yang kemudiannya menjadi realiti ketika Dr. Abdul Hamid bin Hj. Othman menjadi Pengarah Bahagian Pelajaran Ugama. Kesungguhan beliau dapat dilihat melalui usaha beliau merombak sistem pelajaran sekolah-sekolah agama supaya selaras dengan aliran kebangsaan dan tuntutan masyarakat ketika itu.

            Kejayaan lulusan Kolej Islam Kelang memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya dalam pelbagai bidang pengajian di universiti-universiti tersebut seperti undang-undang, ekonomi dan bahasa pada ketika itu menjadi pemangkin dan sumber inspirasi untuk mengambilalih sebelas buah sekolah agama rakyat yang lain. Prof. Ahmad Ibrahim, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada waktu itu sangat gembira dengan perkembangan yang berlaku dalam sistem pendidikan Islam di negara ini. Kesan daripada pengambilalihan ini telah membawa kepada perubahan sistem pendidikan di sekolah agama.

0 ulasan:

Pemangkin Hizibku

  © Green islamic Template by islamic313.blogspot.com 2008