20 Oktober 2013

NIK MOHD MOHYIDDEEN: TOKOH REJUVINASI PENDIDIKAN ISLAM MODEN (Bhg. 2)

       Lumrahnya, kecemerlangan yang dicapai hari ini bukanlah dihampar dengan permaidani merah. Beliau melalui pelbagai mehnah dan tribulasi untuk melaksanakan misi tersebut di saat kekurangan tenaga penggerak dan kakitangan dalam bahagian beliau. Beliau bukan sahaja berusaha mendapatkan khidmat daripada pegawai-pegawai di bahagiannya malah melibatkan juga bekas-bekas pelajar beliau sendiri. Beliau menyedari bahawa pentadbiran sekolah-sekolah agama tersebut adalah dibawah hak kerajaan negeri dan bukanlah suatu yang mudah untuk diambilalih oleh KPM.  

           Beliau bersungguh-sungguh menjelaskan bahawa usaha pihak kementerian bukan bermaksud hendak menandingi kerajaan negeri tetapi menekankan kepada pihak sekolah mengenai bantuan kewangan. Penjelasan juga diberikan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri-negeri tertentu mengenai perkara ini. Pendekatannya secara berhikmah dan memujuk ini banyak membantu menjayakan langkah pengambilalihan sekolah agama rakyat.

           Hasrat kementerian untuk mengambilalih Sekolah Menengah Agama Rakyat bermula sejak tahun 1973 lagi, namun tertangguh disebabkan beberapa hal yang tidak dapat dielakkan. Menjelang 1 Januari 1977, sebelas buah sekolah Menengah Agama Rakyat yang diambilalih dan terdapat 57 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di seluruh negara yang telah ditubuhkan hari ini.

            Cetusan idea pengambilalihan sekolah-sekolah agama oleh Nik Mohd Mohyiddeen merupakan satu sudut pandangan jauh yang telah berjaya melakar kejayaan yang besar kepada dunia pendidikan Islam di negara ini. Langkah ini sangat menguntungkan pelajar-pelajar Islam terutamanya yang menitikberatkan kejayaan di dunia dan di akhirat. Natijahnya, sehingga hari ini SMKA menjadi tumpuan dan cita-cita ibubapa dan para pelajar di seluruh negara.

          Beliau juga adalah pioneer kepada idea penubuhan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI). Lembaga ini berfungsi untuk memantau pentadbiran dan kurikulum Sekolah Menengah Agama. Beliau telah mencadangkan wujudnya jawatan pegawai dakwah di Jabatan Pelajaran Negeri yang janggal pada masa itu. Cadangan tersebut telah menatijahkan beberapa persatuan dakwah di peringkat negeri antaranya Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah Malaysia (PEKDIS) di setiap negeri.

         Beliau juga merupakan tokoh pembaharuan yang telah mencetuskan sesuatu idea pendidikan Islam ke dalam arus pendidikan perdana yang sangat janggal pada masa itu. Konflik sekularisme dalam pendidikan yang berpanjangan pada ketika itu telah menatijahkan kesan yang mendalam dalam diri beliau. Dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab, beliau memberikan komitmen yang tinggi supaya generasi selepas beliau dapat menikmati sistem pendidikan Islam yang lebih baik dan berkemampuan melahirkan individu Muslim yang seimbang dunia dan akhirat.

        Beliau adalah seorang pembaharu pendidikan yang berwawasan, berperancangan dan berpandangan jauh. Bagi memenuhi keperluan kepada pemodenan sistem pendidikan agama ini, beliau membuat perubahan yang agak agresif dari segi kurikulum dan sukatan pelajaran, kemampuan guru dan pedagogi. Beliau amat prihatin dengan stigma masyarakat yang menganggap pengajaran agama Islam ketika itu kurang berkesan dalam melahirkan pelajar-pelajar Islam berkualiti.

       Masalah ini bukan sahaja berpunca daripada sukatan pelajaran semata-mata malah turut dipengaruhi oleh faktor sikap pelajar terhadap mata pelajaran agama sendiri, kaedah pengajaran guru dan pendekatan pihak sekolah. Kurikulum yang seragam dapat meningkatkan mutu pengajian Islam di sekolah-sekolah agama. Pengiktirafan berupa sijil-sijil yang dikeluarkan bagi membolehkan pelajar sekolah agama melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

       Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) merupakan cetusan idea dari Nik Mohd Mohyiddeen dan Dr. Abdul Hamid bin Hj. Othman bertujuan memantau pentadbiran sekolah menengah agama supaya selari dengan pentadbiran sekolah kebangsaan (Jubli Perak SMKA Tahun 2002).

     Nik Mohd Mohyiddeen telah mencadangkan supaya diwujudkan juga jawatan Pegawai Dakwah di Jabatan Pelajaran Negeri. Hasil daripada cadangan tersebut pada tahun 1979 jawatan pegawai dakwah mula diwujudkan di Jabatan Pelajaran Negeri. Dengan pertambahan jawatan tersebut, Unit Agama di Jabatan Pelajaran Negeri mempunyai empat orang pegawai iaitu Ketua Penolong Pengarah, Pegawai Dakwah, Penyelia Agama (Menengah) dan Penyelia Agama (Rendah).

      Tugas utama Pegawai Dakwah ini ialah untuk menyelaras kegiatan dakwah di sekolah dan mengawal kegiatan ajaran sesat. Namun begitu perkembangan kegiatan badan-badan dakwah dan pertambahan bilangan pelajar Islam dan guru Islam menyebabkan peranan dan tugas Pegawai Dakwah makin bertambah luas.

         Sepanjang penglibatan Nik Mohd Mohyiddeen di dalam dunia pendidikan dan dakwah beliau telah berjaya menghasilkan tiga buah buku iaitu dua buah buku teks dan sebuah buku soal jawab agama. Menyedari bahawa masyarakat pelajar yang sukar mendapat bahan rujukan  terutamanya dalam bidang agama, maka Nik Mohd Mohyiddeen telah mengambil inisiatif mengarang buku-buku tersebut. Kebanyakan buku yang dihasilkan oleh Nik Mohd Mohyideen adalah daripada himpunan nota yang beliau sampaikan di dalam bilik darjah. Manakala buku soal jawab agama pula adalah hasil daripada himpunan soalan yang dikemukakan kepada beliau dalam rancangan soal jawab agama di radio (Unit Dakwah Bahagaian Pelajaran Agama, Kementerian Pelajaran, 1983). Buku-buku tersebut ialah :

 Buku Pelajaran Tauhid Tingkatan 6.
 Buku Ilmu Mantik Tingkatan 6
 111 Soal Jawab Agama

Sebagai mengenang jasa dan sumbangan besar ini Nik Mohd Mohyiddeen telah dianugerahkan dengan beberapa pingat penghargaan dan pengiktirafan iaitu:

 Sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Dipertuan Agong pada 5 Jun 1963, Nik Mohd Mohyiddeen telah dianugerahkan Darjah Bintang Ahli Mangku Negara (AMN).

 Pada tahun 1978 Sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, Nik Mohd Mohyiddeen sekali lagi dianugerahkan Darjah Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN).

         Nik Mohd Mohyiddeen meninggal dunia pada 25 Jamadil Akhir 1401H bersamaan 30hb. April 1981 dalam usia 58 tahun disebabkan serangan penyakit jantung. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Besar, Kuala Lumpur pada jam 6.40 petang hari Khamis. Keesokan harinya iaitu hari Jumaat jenazah Allayarham Nik Mohd Mohyiddeen disembahyangkan di rumahnya yang diimamkan oleh Ustaz Hassan bin Salleh. Jenazah kemudiannya telah dibawa ke masjid al-Malik al-Faisal, Maktab Perguruan Islam, Petaling Jaya untuk disembahyangkan sekali lagi dan diimamkan pula oleh seorang imam dari Makkah. Jenazah Allayarham Nik Mohd Mohyiddeen telah disemadikan untuk selama-lamanya di tanah perkuburan Islam, Kampung Tunku, Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor bersebelahan dengan kubur anak lelakinya Nik Silmi.

Diolah dari Kertas Kerja Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara (Nik Mohd Mohyiddeen Wan Musa : Pencetus Transformasi Pendidikan Islam Kebangsaan oleh Amran Mat Ariffen & Azizi Umar

0 ulasan:

Pemangkin Hizibku

  © Green islamic Template by islamic313.blogspot.com 2008